Prebiu Final FA 2011: Mencari Gergasi Pantai Timur Sebenar.

Penulis: RedsFC



Kelantan dan Terengganu turun dengan semangat juang tinggi untuk merampas kejuaraan Piala FA dalam pertemuan sejiran pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Kelebihan milik The Red Warriors selepas pertemuan pertama di Kuala Terengganu, beberapa hari lalu berjaya dimenangi Sang Kijang dengan tiga jaringan.

Namun, pentas final sememangnya menjanjikan cabaran lain setelah saingan 90 minit yang bakal diharungi kedua-dua pasukan menampilkan corak dan gaya berbeza.

Keyakinan disuarakan ketua jurulatih kedua-dua pasukan bahawa dalam perlawanan malam ini mereka akan memberikan corak taktikal berbeza dan keputusan perlawanan Liga Super sebelum ini tidak menjadi sandaran dan kelebihan awal kepada pihak lawan masing-masing untuk merangkul kejuaraan Piala FA.

Pertemuan malam ini selain membawa pulang Piala FA 2011, mereka juga akan merebut status selaku Gergasi Pantai Timur sebenar.

Corak Formasi dan Taktikal.

Terengganu yang turun selaku tuan rumah menerima kehadiran kembali pemain sayap dan pertahanan mereka yang menyertai skuad kebangsaan sebelum ini. Dijangkakan tiada perubahan formasi akan dilakukan Irfan Bakti kerana keyakinan tinggi gaya yang diterapkan di Kuala Terengganu dapat memberikan kemenangan kepada Terengganu tetapi nasib malang menimpa ekoran kesilapan besar dari penjaga gol yang diturunkan.

Kelantan seperti biasa akan menggunakan taktikal 4-4-2 dan gaya ini terbukti berkesan ketika percubaan pertama dalam perlawanan Liga Super, baru-baru ini. Menariknya, Karathu memerlukan sedikit perubahan di posisi serangan dengan memasukkan rakan gandingan untuk bersama Norshahrul merobek gawang lawan. Taktikal meletakkan penyerang prolifik tersebut berseorangan didalam kotak penalti dilihat tidak membantu Sang Kijang.

Kesebelasan Jangkaan.

Terengganu.

Walaupun melakukan dua kesilapan mudah di laman sendiri ketika perlawanan Liga Super, tempat Sharbinee Alawee dalam kesebelasan utama masih terjamin. Status selaku penjaga gol skuad Kebangsaan masih memberi peluang kepada pemain ini untuk kekal di posisi utama tersebut kerana Irfan Bakti tidak akan mengambil risiko menurunkan penjaga gol kedua yang jarang diturunkan.

Pemain pertahanan terus diterajui ketua pasukan, Marzuki Yusof selaku jeneral yang bakal mengarahkan pertahanan lain untuk mempertahankan kubu pasukan mereka dari serangan pemain Kelantan. Rakan gandingan Marzuki ialah Zubir Azmi, Mazlizam Ahmad dan Muhaimin Omar selepas Khairul Helmi Remeli dirundung malang mengalami kecederaan serius.

Jentera tengah bakal diperkuatkan dengan kehadiran "Saha" Malaysia yang tidak beraksi di laman sendiri tempoh hari. Pada pertemuan malam ini, Ashaari dijangka akan digandingkan dengan Abdul Manaf Mamat serta Joseph Kalang Tie selaku pemain utama. Salah satu tempat masih belum pasti diberikan kepada Ahmad Nordin Alias kerana persembahan longlai di laman sendiri sudah tentu tidak mahu diulangi barisan kejurulatihan Terengganu. Kemungkinan tempat tersebut akan diberi kepada Ismail Faruqi yang telah memberikan sedikit masalah kepada Kelantan.

Jentera serangan pula diberi harapan kepada Abdul Hadi Yahya untuk merobek gawang Kelantan kerana kegagalan perlawanan sebelum ini harus dilupakan segera oleh penyerang yang mula meniti di bibir para penyokong Malaysia. Rakan gandingan Hadi kemungkinan diberi kepada pemain simpanan, Wan Alif Jasni.

Kelantan.

Posisi pertama penjaga gol Kelantan dijangkakan kembali menjadi milik Khairul Fahmi Che Mat walaupun persembahan cemerlang Mohd Shahrizan Ismail di Kuala Terengganu memberikan Sang Kijang 3 mata penuh.

Jentera  pertahanan pula kemungkinan S. Subramaniam bakal kembali dalam posisi pertama untuk digandingkan dengan Farisham Ismail. Pertahanan kiri juga beralih dari milik Aziz Ismail kepada Zairul Fitree manakala bahagian pertahanan kanan akan terus digenggam kukuh Daudsu Jamaludin.

Mohd Badri Radzi selaku ketua pasukan dijangka mengetuai jentera tengah bersama dengan Shakir Shaari selaku "playmaker" untuk menerapkan corak taktikal yang ingin digunakan M. Karathu. Nurul "Awe" Roya turut masuk selaku pemain sayap kiri manakala S. Chanturu kemungkinan naik selaku pembantu penyerang kepada Norshahrul dengan Solehin Kanasian ataupun Mohd Izuan Salahudin diletakkan di posisi sayap kiri.

Jentera serangan yang diketuai penjaring terbanyak Liga, Norshahrul Idlan dan S. Chanturu diberi sejuta harapan oleh para peminat Kelantan untuk merobek gawang Terengganu seterusnya menjulang kejuaraan pertama dan "terakhir" Piala FA 2011.

Ramalan Keputusan
Terengganu 1-3 Kelantan
Share on Google Plus

About RedsFC

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 ulasan: