Ramzul Zahini ditenangkan Danial Fadzly selepas tumpas 1-2 kepada Terengganu dalam perlawanan akhir Piala FA, semalam. |
Penantian Kelantan untuk menjulang buat kali pertama Piala FA berkubur selepas dikecewakan 1-2 oleh Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Bersaksikan Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Al Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V serta lebih 60 000 penyokong setia Merah Putih, Kelantan hampir mengondol piala FA namun jaringan sendiri Daudsu Jamaludin pada saat-saat akhir membolehkan negeri sejiran mengikat kedudukan.
Gol jaringan Nordin Alias pada minit ke-108 masa tambahan memisahkan kedua-dua pasukan sehingga ke wisel penamat.
Selaku juara, Terengganu menempah slot ke saingan AFC musim depan manakala Kelantan masih berpeluang seandainya mampu muncul juara dalam saingan Liga Super.
Permulaan babak pertama menunjukkan saingan seimbang dengan Terengganu dan Kelantan hanya sekali sekala melakukan percubaan kearah pintu gol lawan masing-masing.
Terengganu sebenarnya berpeluang untuk berada didepan pada minit ke-19 namun Abdul Hadi Yahya yang mendapat kedudukan satu lawan satu dengan Khairul Fahmi Che Mat merembat tepat kearah penjaga gol Kelantan tersebut.
Selepas serangan Terengganu tersebut, pemain Kelantan dilihat memperkemaskan jentera tengah dengan melakukan beberapa serangan berbahaya melalui bahagian sayap.
Percubaan paling merbahaya dilakukan Kelantan ialah rembatan kencang Norshahrul Idlan Talaha berjaya ditumbuk keluar Sharbinee Alawee pada minit ke-40.
Bersambung babak kedua, Terengganu dan Kelantan mula mengatur beberapa serangan pantas untuk mencari gol pendahuluan namun ketangkasan barisan pertahanan kedua-dua pasukan berjaya menafikan setiap cubaan tersebut.
Bagi memberi lebih sengat kepada jentera serangan, Kelantan membuat pertukaran pertama memasukkan penyerang muda, Ramzul Zahini Adenan.
Kemasukan Ramzul hampir membuahkan hasil pada minit ke-67 namun kesilapan Sharbinee gagal menangkap kemas hantaran pemain tengah Kelantan diselamatkan Ismail Faruqi diatas garisan gol.
Selepas berbalas serangan, gol yang dinantikan akhirnya menjelma pada minit ke-79 selepas Nurul Azwan Roya melakukan larian deras melepasi kawalan Marzuki sebelum melakukan satu lambungan melepasi Sharbinee Alawee.
Gol tersebut nyata menyemarakkan sorakan penyokong Kelantan dan mereka terus berpesta selepas pengadil keempat mengangkat tambahan masa kecederaan.
Namun, kesilapan Daudsu Jamaludin tertanduk kedalam gawang sendiri lintangan cantik Abdul Manaf Mamat pada minit terakhir memaksa perlawanan ditentukan dalam masa tambahan.
Ahmad Nordin Alias muncul wira selepas rembatan rendah ke sebelah kanan pintu gol Kelantan pada minit ke-108 gagal diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat.
Selepas berhempas pulas mempertahankan pintu gol, pemain dan penyokong Terengganu akhirnya bersorak girang selepas pengadil perlawanan, Nafeez Abdul Wahab meniupkan wisel penamat.
Ketua pasukan Terengganu, Marzuki Yusof dinobatkan pemain terbaik perlawanan akhir.
Kesebelasan Pemain.
TERENGGANU: Irfan Bakti Abu Salim.
Sharbinee Allawee (Gk), Mazuki Yusof (Kp), Mazlizam Mohamad, Zubir Azmi, Helmi Remeli, Joseph Kalang Tie, Reeshafiq Alwi, Ismail Faruqi, Ashari Samsudin, Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahaya.
KELANTAN: Datuk M. Karathu.
0 ulasan:
Post a Comment