Anda kenal Ramli? Siapa sebenarnya Ramli? Apa keistimewaan Ramli dan mengapa nama Ramli terus menjadi terkenal dalam sekelip mata?
Pasti ramai yang tidak tahu serta tertanya-tanya siapakah gerangan manusia yang dikecohkan di laman-laman sosial dan website.
Penulis sendiri turut terkena tempias fenomena anak muda bernama Ramli sehinggakan tidak terkecuali memberikan komen terhadap orang yang bernama Ramli ini.
Tidak sangka, Ramli berjaya membuka mata para peminat dan menghiburkan rata-rata penyokong bola sepak Malaysia diseluruh negara dengan telatah dan gelagatnya.
Paling terkesan, dikala penyokong dilanda kekecewaan dengan aksi yang ditunjukkan pemain Malaysia ketika ketinggalan 0-1 kepada Jepun, Ramli berjaya membuatkan mereka kembali tertawa dan duduk terpaku didepan televisyen untuk terus memberikan sokongan kepada pasukan negara sehingga tamat perlawanan.
Malah tanpa segan silu, ramai penyokong turut menyindir ketua jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal agar memanggil Ramli menyertai skuad kebangsaan untuk perlawanan dengan Australia.
Begitulah hebatnya penangan Ramli dalam iklan terbaru Telekom Malaysia (TM) berkaitan kelibat anak muda berpendirian teguh sehingga membanggakan ayahnya serta seluruh warganegara apabila menjadi penjaring pertama dari Malaysia dengan kelab gergasi England, Manchester United.
Apa yang penulis perhatikan, banyak yang boleh dipelajari dalam iklan TM yakni kegigihan seorang anak mencabar diri untuk menunjukkan kepada orang tuanya bahawa dia mampu menjadi orang yang berguna walaupun tidak mendapat kelulusan tinggi dalam pelajaran.
Watak Ramli juga menunjukkan keyakinan tinggi seorang anak kecil untuk mencipta kegemilangan pada masa depan dan akhirnya impian tersebut tercapai apabila menjadi salah seorang pemain kepada pasukan terbaik di dunia.
Biarpun hanya sekadar iklan, ternyata TM melalui iklan terbaru ini telah berjaya menunjukkan kepada semua betapa kejayaan yang diingini tidak akan datang bergolek tanpa usaha keras untuk menuju kegemilangan.
Akhir kata dari RedsfcNews, syabas Telekom Malaysia kerana penerbitan iklan sebegini bukan sahaja menaikkan semangat para pendukung pasukan negara malahan memberi perangsang kepada anak muda di seluruh negara untuk menjadi seperti Ramli.
InsyaAllah, suatu hari nanti, akan muncul pemain Malaysia yang pertama akan beraksi di kancah Liga terbaik dunia dan melakukan jaringan gol. Sama-sama kita doakan. -RedsfcNews-
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 ulasan:
Post a Comment