Kelantan bertandang ke Johor FC untuk perlawanan kelima kumpulan C dalam misi mengesahkan satu slot ke saingan suku akhir Piala Malaysia 2011.
Sembilan mata dari empat perlawanan, tidak sukar untuk Kelantan menduduki tangga dua pasukan teratas selepas Felda United turut sebelah kaki berada di saingan kalah mati hasil kutipan 10 mata.
Lain situasi dari kem Johor FC, perlawanan yang berlangsung malam esok menjadi pertarungan hidup mati Sang Lebah kerana empat mata yang dikutip setakat ini sangat tipis untuk membawa mereka mengulangi pencapaian separuh akhir musim lepas.
Berdasarkan pengiraan matematik, harapan Johor FC untuk melepaskan diri masih terbuka biarpun tipis andai menang keatas The Red Warriors pada pertemuan di laman sendiri nanti.
Melihat pada rekod pertemuan semasa kedua-dua pasukan, Kelantan mencatatkan kemenangan 2-1 pada pertemuan pertama Piala Malaysia manakala rekod perlawanan untuk kejohanan lalu turut berpihak kepada Sang Kijang dengan lima kemenangan dicatatkan berbanding dua kalah sejak tahun 2009. Untuk aksi terakhir di gelanggang Johor FC, Sang Kijang mendapatkan kemenangan tipis 1-0 dalam saingan Liga Super tempoh hari.
Ukuran rekod lampau tidak menjamin kemenangan bakal diulangi para pemain The Red Warriors di laman lawan. Aksi 90 minit, pelbagai perkara boleh terjadi dan setiap pasukan bertanding mempunyai peluang sama rata untuk mencatatkan kemenangan keatas lawan masing-masing.
Selaku bekas juara Piala Malaysia, Kelantan tentu mahu mengesahkan tempat mereka lebih awal ke peringkat kalah mati, persoalan kini, mahukah Johor FC memberikan laluan mudah kepada anak buah Datuk M. Karathu atau pengendali baru Sang Lebah, Sazali Saidun memberi kata dua kepada anak buahnya supaya mencatatkan kemenangan seterusnya menanti perlawanan terakhir untuk pengesahan pasukan yang layak.
Formasi
Johor FC
Pertukaran jurulatih pasti berlakunya sedikit konflik dari kem Lebah untuk menukar formasi semasa. Namun, kejayaan mengikat Felda di laman lawan tempoh hari memberikan mereka sedikit harapan taktikal baru yang diatur Sazali Saidun mungkin berjaya untuk mengekang pemain Kelantan. Dijangka, formasi 4-4-2 akan digunakan dimana pemain tengah diberi tanggungjawab utama untuk mengucar kacirkan barisan pertahanan pelawat.
Kelantan
Sang Kijang dalam empat perlawanan sebelum ini dilihat tiada pertukaran drastik dilakukan sama ada dari pemilihan pemain utama sehingga kepada formasi sepanjang 90 minit. Taktikal 4-4-2 tiada perubahan ketara dengan semua pemain berpeluang untuk mengatur gerakan menyerang kearah kubu pasukan lawan.
Kesebelasan Jangkaan.
Johor FC
Bagi posisi penjaga gol Sang Lebah, Mohd Anis Faron dijangka mengekalkan tempatnya selaku penjaga gol utama selepas mempamerkan persembahan memberangsangkan ketika seri dengan Felda, minggu lalu. Penjaga gol gantian pula kemungkinan digalas Suhardi Albi berbanding Fazli Paat yang tidak disenaraikan di bangku simpanan.
Jentera pertahanan, Hamzani Omar dijangka mengetuai barisan benteng bersama dengan Khairi Kiman, Saiful Nizam Miswan dan Irfan Ghani. Empat pemain ini akan bertindak di kawasan terbawah untuk mengekang pemain serangan Kelantan dari berleluasa menyerang kubu mereka.
Pemain tengah Johor FC menjadi tunjang kepada skuad Lebah dalam perlawanan terakhir, baru-baru ini. Jentera tengah mereka dilihat berjaya mengucar kacir pertahanan Felda dengan hantaran menarik selain melakukan banyak percubaan bahaya kearah kubu pasukan lawan. Diketuai bekas "midfield" terbaik, Rezal Zambery Yahya serta Eddy Helmi Manan, barisan tengah mereka dilengkapkan dengan kelibat pemain muda seperti Mohd Khairul Ismail dan Riduwan Maon. Kesemua membuktikan betapa aksi mereka tidak boleh dipandang ringan, dengan larian laju serta keserasian yang dicipta bakal membuatkan pertahanan Kelantan tidak kering peluh mengejar.
Penyerang Johor FC masih belum membuktikan sengat mereka sepanjang Piala Malaysia namun kelibat mereka tidak boleh diperkecilkan. Diketuai SHahrizal Saad, dia dilihat mampu menghadirkan ancaman kearah kubu pasukan lawan tetapi jarang mendapat ruang luas kerana seringkali dikawal rapi pertahanan lawan. Begitu juga dengan Rashid Aya, dia seringkali membantu pemain lain menjaringkan gol namun gagal menembusi gawang pasukan yang dilawan tetapi bisa pemain ini ialah mampu menghidu ruang tersedia selain dapat melakukan percubaan dari jarak jauh jika tidak diberi perhatian sewajarnya.
Kelantan.
Seperti biasa, Shahrizan mungkin diletakkan di posisi utama seandainya Khairul Fahmi tidak bersama pasukan. Namun dijangkakan, Kelantan mungkin mendapat kembali penjaga gol utama mereka selepas tugasan bersama pasukan Kebangsaan telah tamat.
Bagi pertahanan, tiada perubahan apabila kesemua pemain bebas dari masalah kecederaan dan pengantungan perlawanan. Farisham Ismail, Subra dan Daud masih kekal di posisi permulaan termasuklah benteng kiri, Aziz Ismail.
Jentera tengah, Mohd Badri Radzi selaku ketua pasukan bakal berganding dengan Shakir Shaari, Nurul Azwan dan S. Chanturu. Pemain berpengalaman, Danial mungkin bermula pada babak kedua termasuklah pemain muda dari skuad Piala Presiden, Khairul Izuan Rosli. Selain itu, The Red Warriors turut mungkin mendapat kembali khidmat Izuan Salahudin dari pasukan kebangsaan.
Posisi serangan, Azamuddin Akil terus diberi tanggungjawab bersama Norshahrul Idlan Talaha. Azamuddin diharap mampu memecahkan kebuntuan jaringan dengan meledak seberapa banyak yang mungkin untuk memudahkan tugasan Norshahrul dibahagian atas. Ramzul mungkin diletakkan di bangku simpanan bersama dengan Nidzad Ayub.
RedsfcNews
Bagi RedsfcNews, perlawanan seimbang bakal ditunjukkan kedua-dua pasukan dimana Johor FC yang bermain selaku tuan rumah mempunyai kelebihan untuk mencatatkan kemenangan. Buat Kelantan, mereka turut mampu membawa pulang tiga mata jika rekod terdahulu diambil kira namun laluan kali ini tidak semudah yang disangka.
Percaturan Sazali Saidun tentu mahu mencari gol awal dengan melakukan asakan dari awal perlawanan. Kelantan bakal ditekan dari segenap arah dalam usaha Sang Lebah untuk mencatatkan tiga mata selain menebus dua kekalahan di arena sendiri kepada The Red Warriors.
Kemungkinan perlawanan berkesudahan dengan keputusan Johor FC 2-1 Kelantan, seri 2-2 ataupun kemenangan berpihak kepada Kelantan dengan jaringan 3-1. -RedsfcNews-
0 ulasan:
Post a Comment