Wajar Sekiranya FAM Tanggung Kos Membaiki Trek Stadium Nasional Bukit Jalil - KBS


PUTRAJAYA, 23 Mei (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berpendapat adalah wajar sekiranya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat menangung kos penangguhan pembaikan trek Stadium Nasional Bukit Jalil yang mencecah RM500,000.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata tindakan itu wajar kerana kerajaan tidak mahu menggunakan wang rakyat.

Bagaimanapun, KBS akan berunding dengan pihak kontraktor, perbadanan stadium dan FAM dalam mencapai kata sepakat berhubung perkara itu, katanya kepada pemberita di sini Isnini.

Beliau bagaimanapun berkata pihak stadium akan menghentikan kerja-kerja membaikpulih dan membaiki trek berkenaan bagi memberi laluan kepada beberapa acara anjuran FAM sepanjang bulan depan.

FAM akan menggunakan stadium itu bagi perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Terengganu pada 11 Jun sebelum aksi perlawanan persahabatan Liverpool, Arsenal dan Chelsea menentang Harimau Muda Malaysia pada Julai nanti.

Ahmad Shabery berkata sekiranya kerja-kerja pembaikan itu ditangguhkan, pihak stadium terpaksa menanggung kos tertentu.

"Jadi, perkara itu dirundingkan bersama di antara pihak stadium dan pihak FAM. Insyallah, segalanya akan dapat diatasi," katanya.

Beliau juga mahu FAM merancang jadual perlawanan yang menggunakan kemudahan stadium berkenaan lebih awal agar pihak stadium dapat merancang kerja-kerja pembaikan.

-- BERNAMA
Share on Google Plus

About Moderator

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 ulasan: