Laporan dan Video: Singa Baham Harimau Malaya.

Perlawanan pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 berkesudahan Singapura garang membaham Harimau Malaya 5-3 di Stadium Jalan Besar, malam tadi.


The Lions ternyata menggunakan sepenuhnya kelibat barisan import mereka untuk menunjukkan betapa ketaranya kelemahan barisan benteng Malaysia dengan lima gol sumbangan Alaksandar Duric, Qiu Li, Mustafic Fahrudin dan Shi Jiayi.

Namun Malaysia tetap bernasib baik kerana pengempur berbisa, Safee Sali menjaringkan dua gol manakala Abdul Hadi Yahya menambah satu lagi jaringan.

Permulaan babak pertama, Safee Sali mengejutkan penyokong tuan rumah dengan gol seawal saat kelima belas setelah menyudahkan dengan baik hantaran lintang Asrarudin Putra Omar.

Namun tuan rumah tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan selepas Alaksandar Duric mudah menyambung masuk sepakan percuma daripada Qiu Li pada minit ke-7.


Terkejut dengan gol penyamaan Singapura, pemain Malaysia cuba memperkukuhkan jentera pertahanan tetapi Qiu Li pantas tampil selaku penjaring kedua tuan rumah melalui sepakan percuma kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-21.

Harimau Malaya mendapat satu peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-28 selepas Safee Sali bijak menggelecek Daniel Bennet tetapi Ismail Faruqi gagal menyempurnakan walaupun hanya berhadapan dengan penjaga gol tuan rumah, Izwan Mahbud.

Singapura mengandakan asakan dan pada minit ke-32, ketua pasukan mereka, Shahril Ishak mengelirukan Mahali dan Muslim Ahmad tetapi mujurlah percubaan pemain ini terkena tiang gol.

Selang seminit selepas itu. Alaksandar Duric menerima hantaran dari Haris Harun tetapi sepakan penyerang Singapura ini dapat ditepis keluar Sharbinee Alawee.

Memasuki minit ke-43, Mustafic Fahrudin menghukum kelalaian pertahanan Malaysia dengan satu sepakan kencang menewaskan Sharbinee buat kali ketiga.

Tidak sampai seminit, Shi Jiayi terus mengembirakan penyokong Singapura dengan gol keempat selepas menyempurnakan hantaran cantik Alaksandar Duric dari sebelah kiri pintu gol Malaysia.

Bersambung babak kedua, Malaysia cuba bangkit mengejar tetapi menerima tamparan selepas ketua pasukan, Safiq Rahim dilayangkan kad merah terus oleh pengadil perlawanan selepas bertindak menyepak perut Harris Harun.

Tiga minit selepas itu, pertahanan Singapura, Ismail Yunos menerima nasib sama selepas dilayangkan dua kad kuning oleh pengadil hasil kekasaran keatas S. Kunalan.

Ketika perlawanan menjejak minit ke-60, Alaksandar Duric melompat tinggi menanduk masuk hantaran Qiu Li tetapi penjaga garisan terlebih dahulu mengesan kedudukan offside.

Menyedari Malaysia mula mendapat rentak, Abdul Hadi Yahya dibawa masuk dan dia menggunakan sepenuhnya hantaran Mahali Jasuli pada minit ke-68 untuk gol kedua.


Seminit selepas itu, Safee Sali meledak jaringan kedua peribadi dan ketiga kepada Harimau Malaya selepas berjaya memperdayakan Daniel Bennet sebelum melepaskan sepakan kencang dari luar kotak penalti hasil hantaran S. Kunalan.

Pada minit ke-73, Abdul Hadi Yahya mendapat peluang dari kotak penalti The Lions selepas Daniel gagal mengeluarkan hantaran Safee namun sepakan penyerang dari Terengganu ini tersasar.

Qiu Li terus menjadi duri dalam daging kepada barisan pertahanan Malaysia selepas hantarannya kepada Duric disempurnakan dengan baik untuk gol kelima Singapura pada minit ke-80.

Tidak berputus asa, skuad Kebangsaan melakukan serangan balas melalui Hadi Yahya pada minit ke-83 namun percubaan pemain ini dari luar kotak penalti berjaya diselamatkan Izwan Mahbud.

Dua minit selepas itu, pemain yang baru dimasukkan Singapura, Shahdan Sulaiman mendapat peluang terbuka didepan gawang tetapi sepakannya lemah kepada Sharbinee.

Pada minit-minit akhir, Singapura terus melancarkan serangan untuk membawa bekalan selesa ke Kuala Lumpur tetapi pertahanan Malaysia kental bertahan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Selepas tambahan masa tiga minit, perlawanan akhirnya ditamatkan pengadil perlawanan dari Bahrain, Nawaf Shukralla. -RedsfcNews-

Kesebelasan Pemain:

Singapura: Radojko Avramovic
Izwan Mahbud (Gk), Daniel Bennet, Juma'at Jantan (Shaiful Esah), Ismail Yunos, Hamqaamal Shah, Shahril Ishak (Kp) (Shahdan Sulaiman), Mustafic Fahrudin, Shi Jiayi, Harris Harun, Alaksandar Duric dan Qiu Li (Fazrul Nawaz).

Malaysia: Datuk K. Rajagobal.
Sharbinee Alawee (Gk), Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Asrarudin Putra, Safiq Rahim (Kp), Amar Rohidan, S. Kunalan, Ismail Faruqi (Amirul Hadi), Fakri Saarani (Abdul Hadi Yahya) dan Safee Sali (Izzat Faris)

Statistik

Gol
Singapura 5-3 Malaysia


Offside
Singapura 4-2 Malaysia

Sepakan Sudut
Singapura 5-3 Malaysia


Kad Kuning
Singapura 3-4 Malaysia

Kad Merah
Singapura 1-1 Malaysia

Posisi Bola (%)
Singapura 55-45 Malaysia
Share on Google Plus

About RedsFC

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 ulasan: