Video dan Laporan Kelayakan Olimpik 2012: Langkah Sumbang Harimau Muda.

Harimau Muda bermula sumbang dalam saingan Kelayakan Olimpik London 2012 apabila tumpas 0-2 kepada Jepun di Stadium Tosu, sebentar tadi.


Ternyata pengalaman jaguh Asia tersebut dalam kejohanan berprestij gagal ditandingi anak buah Ong Kim Swee.

Babak awal perlawanan sudah menyerlahkan kehebatan tuan rumah dengan cubaan pertama pada saat ke-40 tetapi diselamatkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Pada minit ke-5, Jepun sekali lagi mengancam kubu Malaysia melalui tandukan lemah Yuya Osako.

Asakan berterusan Jepun akhirnya membuahkan hasil selepas Higashi Keigo tenang menyudahkan hantaran cantik Manabu Saito pada minit ke-9.

Dua minit kemudian, Higashi sekali lagi mencemaskan benteng Malaysia menerusi rembatan deras kaki kiri tetapi Khairul Fahmi pantas merebahkan badan menyelamatkan keadaan.

Khairul Fahmi terus bertindak cemerlang setelah menepis keluar tandukan bebas penyerang Jepun dari jarak dekat pada minit ke-15.

Memasuki minit ke-23, Naoki Yamada pula menguji Khairul Fahmi dengan sepakan dari jarak 25 meter.


Naoki Yamada terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Malaysia dengan skill menarik tetapi percubaan dari sudut sukar diselamatkan Khairul Fahmi.

Pada masa kecederaan separuh masa, Jepun berpeluang mengandakan jaringan melalui Manabu Saito tetapi pemain ini gagal menewaskan penjaga gol Malaysia walaupun berada dalam situasi satu lawan satu.

Bersambung babak, Malaysia bagaikan mendapat tonik berguna dari bilik persalinan apabila bermula garang mengatur pelbagai gerakan kearah pintu gol Jepun.

Usaha mereka tampak hampir berhasil pada minit ke-52 selepas Abdul Shukor Jusuh menerima umpanan dari Fandi Othman namun rembatan pemain ini jauh dari menepati sasaran.

Tidak sampai seminit, Keigo Higashi melakukan sepakan lencong dari dalam kotak penalti Malaysia tetapi Khairul Fahmi bijak menumbuk keluar.

Selepas itu, Malaysia sekali lagi mendapat peluang keemasan didalam kotak penalti pada minit ke-62 melalui Izzat Faris tetapi dia gagal meletakkan bola kedalam jaring sebelum dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh pertahanan Jepun.

Kealpaan Malaysia mengatur serangan membawa padah pada minit ke-75 selepas Jepun berjaya menjaringkan gol kedua melalui Yamakazi Ryoei hasil hantaran lintang Kensuke Nagai.

Jepun terus bermaharajalela melakukan serangan kearah kubu Malaysia namun satu cubaan Manabu Saito dari dalam kotak penalti pada minit ke-79 diselamatkan Fadhli Shaz diatas garisan gol.

Selepas percubaan tersebut, Jepun memperlahankan rentak dengan melakukan kawalan penuh terhadap bola memaksa pemain Malaysia terpaksa bekerja keras untuk merampas dari pemain Jepun.

Selepas tambahan masa tiga minit, perlawanan berkesudahan dengan Jepun mencatatkan pungutan tiga mata dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan kelayakan Olimpik 2012. -RedsfcNews-

Photo: Shazli Shamsudin
Video: Sokernet.com

Share on Google Plus

About RedsFC

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 ulasan: