Prebiu dan Jadual : Debaran Piala Malaysia Bermula.

Debaran mencari juara baru Piala Malaysia bermula dengan lapan perlawanan akan dilangsungkan di lapan venue perlawanan seluruh negara.


Perlawanan pertama menemukan Sarawak dengan The Red Warriors di Stadium Kuching menjadi tumpuan peminat setia arena bola sepak tempatan. Perlawanan yang dilangsungkan awal 30 minit menyaksikan dua pasukan negeri bertarung memburu tiga mata pertama yang ditawarkan dalam kumpulan C.

Kelantan turun selaku juara bertahan bertekad menguip tiga mata untuk mencari bekalan semangat awal dalam saingan peringkat kumpulan. Skuad Bujang Senang pula turun dengan semangat juang tinggi tanpa tekanan dengan niat menewaskan penyandang Piala Malaysia dan Liga Super.

Berlainan di situasi gergasi Merah Kuning. Mereka dalam misi mencari kejuaraan ke-33 turut tidak ketinggalan melakukan perang psikologi awal kepada semua pencabar pada musim ini. Kunjungan ke Kuala Terengganu melawan T-Team bukan satu tugasan mudah tambahan pula lawan yang dihadapi sememangnya liat dan pernah menewaskan mereka dalam kancah Liga. T-Team yang mendapat khidmat penjaring terbanyak Liga Premier sudah tentu mahu menjadikan Selangor "lauk" dihadapan penyokong mereka sendiri.

Beralih ke sekitar Lembah Klang, dua pasukan bakal menjadi tuan rumah dimana tumpuan terarah ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang kerana satu lagi pasukan pilihan yakni Terengganu bakal bertembung dengan pendatang baru, Sime Darby FC. Kelab Sime Darby melakukan persiapan rapi termasuklah mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan berprofil tinggi untuk bersaing rapat dalam saingan Piala Malaysia kali ini. Pertemuan pertama dengan Terengganu menjadi medan penting hala tuju pasukan kelab ini dalam kejohanan tertua di Asia Tenggara tersebut. Bagi kem Terengganu, mereka realistik dan akan melakukan yang terbaik dalam misi mencari kemenangan awal.

Satu lagi perlawanan di Stadium MBPJ, juara Liga Perdana, PKNS Selangor turun ke gelanggang menunggu kehadiran finalis 2010, Negeri Sembilan. Kelab yang mengambil masa beberapa tahun untuk membina sebuah pasukan mantap sudah pasti mahu sesuatu dalam perlawanan pertama. Mereka dijangka akan cuba memberikan kejutan besar kepada Jang Hoben dalam perlawanan ini.

Terbang ke Selatan, kelab paling konsisten sejak beberapa tahun dahulu, Johor FC akan bertembung dengan Felda United memburu tiga mata awal untuk mengukuhkan kedudukan di peringkat kumpulan. Sebarang keciciran mata bakal mengundang padah besar kepada anak buah Azuan Zain. Bagi kem Felda, mahu tidak mahu, kancah Piala Malaysia pada tahun ini perlu diharungi sehingga ke peringkat kalah mati. Persembahan buruk 2010 wajar dilupakan sama sekali andai berkeinginan besar merebut salah satu slot automatik ke pusingan suku akhir.

Abang mereka, Johor pula dijangka mendapat tentangan sengit dari mantan juara, Kedah di Stadium Larkin. Sang Jengking dilaporkan sudah bersiap secara taktikalnya untuk memerangkap Sang Kenari. Tetapi, Kenari terbang bukan sebarang kenari. Kenari datang membawa hajat gemilang iaitu tiga mata di tempat lawan.

Di Stadium Likas, bekas gergasi bola sepak Malaysia, Perak bertandang ke Sabah dengan berita gembira ekoran pemain yang digantung sebelum ini dibenarkan beraksi dengan syarat-syarat FAM. Keraguan status mereka telah terungkai dengan lima pemain tonggak sedia diturunkan. Pihak Sabah sebenarnya tidak rungsing kerana rekod mereka dalam pertembungan dengan Perak sepanjang 2011 dilihat bersih dan sukar digugat tambahan pula beraksi di arena keramat.

Kembali ke Paroi, Polis DRM dikhabarkan mahu satu permulaan cemerlang ketika perlawanan pertama menentang Kuala Lumpur. Perlawanan disifatkan seimbang dengan kedua-dua pasukan berkemampuan untuk mengejutkan lawan masing-masing. Tidak mustahil salah satu pasukan bakal keluar dengan senyuman lebar membawa pulang tiga mata berharga.


Perlawanan Pertama Piala Malaysia

Kumpulan A

Sabah vs Perak - Stadium Likas
Johor vs Kedah - Stadium Larkin

Kumpulan B
Sime Darby vs Terengganu - Stadium Selayang
Selangor PKNS vs Negeri Sembilan - Stadium MBPJ

Kumpulan C
Sarawak vs Kelantan - Stadium Kuching
Johor FC vs Felda United - Stadium J'Corp

Kumpulan D
T-Team vs Selangor - Stadium Sultan Ismail Nasharudin Shah
PDRM vs Kuala Lumpur - Stadium Paroi

Semua perlawanan berlangsung pada jam 8.45 malam 
kecuali Sabah dan Sarawak bermula 8.15 malam.

-RedsfcNews-

Share on Google Plus

About RedsFC

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 ulasan: