Prebiu Perlawanan : Misi Wajib Tiga Mata Kelantan dan Sarawak.

Misi wajib menang buat pasukan Kelantan apabila menanti kunjungan Sarawak di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam esok.


Kedudukan tangga kedua dengan enam mata terkumpul selepas tiga perlawanan bukan sesuatu yang boleh dibanggakan oleh para pemain The Red Warriors.

Bagi kem Sarawak, episod kekalahan demi kekalahan tanpa dapat menjaringkan satu gol menyebabkan mereka terpaksa berpuas hati di tangga tercorot kumpulan C tentu mahu dipecahkan dikala Sang Kijang sedang dalam keadaan berduka dengan kekalahan kepada Felda United.

Walaupun beraksi di gelanggang tuan rumah, Sarawak tentu tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan mata keatas lawan yang sedang tempang dengan prestasi tidak konsisten.

Berdasarkan pertemuan pertama di Kuching, Kelantan membolosi gawang Sarawak sebanyak dua kali pada babak kedua namun gagal melakukan penyudah berkesan pada separuh masa.

Justeru itu, perlawanan pusingan kedua menjadi medan penentuan sama ada Sang Kijang dibaham lawan atau Sarawak melengkapkan pertemuan dengan kekalahan kedua berturut-turut.

Untuk catitan, Kelantan perlu mengutip tiga mata bagi meneruskan perjuangan ke suku akhir kerana Johor FC turut berpeluang cerah merapatkan jurang andai dapat mengecewakan Felda manakala Sarawak juga wajib mendapatkan kemenangan andai masih mahu meneruskan saingan sehingga perlawanan terakhir nanti.

Formasi

Kelantan

The Red Warriors tempang bila mana pemain bintang masih gagal tampil cemerlang selepas lama berehat dari saingan kompetetif. Pelbagai taktikal dan formasi cuba diserapkan kedalam pasukan Kelantan namun gagal menemui keputusan memberangsangkan memaksa perlawanan yang dihadapi menjadi lebih terus dari kejohanan lain yang disertai. Dengan pertemuan menentang Sarawak, selaku tuan rumah, Kelantan dijangka menggunakan formasi 4-4-2 seperti kebiasaan namun memberi tugasan tambahan kepada pemain bahagian tengah untuk turut sama-sama mengatur gerakan membolosi gawang pasukan pelawat.

Sarawak

Bujang Senang turut gagal memberikan persembahan konsisten dalam Piala Malaysia dan jurang selaku negeri yang beraksi dalam saingan Liga Premier ternyata turut menyukarkan skuad dari Borneo untuk menampilkan aksi cemerlang. Penggunaan tiga pemain pinjaman gagal membantu mereka tetapi Robert Albert dikhabarkan ada tonik untuk digunakan di Kota Bharu. Formasi 4-4-2 sesuai kepada Sarawak jika mereka mahu mencatatkan pungutan mata tetapi mereka pasti sedar akan kesukaran berdepan Kelantan di depan penyokong sendiri. Kemungkinan Robert akan menerapkan corak bertahan dengan taktik 4-5-1 seperti mereka gunakan ketika tewas di laman sendiri kepada Johor FC dimana taktik yang digunakan mengharapkan pemain tengah dan penyerang mereka pantas melakukan serangan balas ketika mempunyai peluang tetapi turun bertahan dengan cepat bila diserang.

Kesebelasan Jangkaan.

Kelantan


Menurut sesetengah peminat, mereka berharap Datuk M. Karathu dapat menurunkan beberapa pemain simpanan yang terbukti telah banyak memberikan bantuan kepada pasukan Kelantan. Pemain seperti Danial Fadzly dan Khairul Izuan Rosli dikatakan dapat memberikan nafas baru dalam corak serangan Sang Kijang kerana pasukan lawan masih tidak mengenali secara lebih terperinci dua pemain ini. Harapan mereka turut disuarakan sementelah beberapa pemain seperti Azwan Roya, Badri Radzi dan S. Chanturu kelihatan tidak efektif selain bermain tidak seperti biasa.

Namun segalanya terpulang pada ketua jurulatih Kelantan tersebut untuk menurunkan sesiapa yang beliau rasakan dapat membantu tuan rumah mengutip mata penuh di hadapan ribuan Tentera Merah.

Berdasarkan pemerhatian sesi latihan serta kacamata rakan peminat pasukan bola sepak Kelantan, kemungkinan besar Shahrizan Ismail terus diberi peranan selaku penjaga gol utama walaupun dilihat leka ketika dihukum dua jaringan Felda United. Ternyata Shahrizan menghadapi tekanan hebat ekoran harapan tinggi para peminat kepadanya untuk meneruskan legasi kekebalan benteng terakhir.

Untuk barisan pertahanan, S. Subramaniam dan Farisham Ismail dijangka kekal di kawasan tengah manakala Daudsu pula bakal memulakan perlawanan dibarisan sayap kanan. Cuma dibahagian kiri kemungkinan besar berlaku sedikit perubahan dimana Aziz Ismail mungkin diletakkan dibangku simpanan dengan Zairul Fitree kembali mengambil alih posisi pertama selepas melepaskan buat seketika kerana masalah kecederaan berulang. Selain mereka, Kelantan turut menerima tenaga muda di bangku simpanan dari Nik Shahrul Azim selain kelibat Khairan Ezuan yang mempunyai "versatil" untuk bermain sama ada di bahagian pertahanan ataupun kawasan "midfield" .

Jentera tengah yang dilihat longlai sejak kebelakangan ini mungkin tidak berlaku sebarang perubahan pemain kerana mahu atau tidak, hanya pemain ini sahaja yang sering kelihatan membarisi kesebelasan utama. Para pemain kelihatan sangat kebal walaupun tidak beraksi baik pada satu-satu perlawanan dimana Badri Radzi menggalas tugas kapten dibantu Shakir di "center" manakala Azwan Roya serta Chanturu bermain disebelah sayap. Walau mempunyai penganti "attacking" seperti Danial, kemungkinan besar pemain ini terus berada di bangku simpanan sehingga ke penghujung musim. Jika berlaku pertukaran, hanya Khairul Izuan Rosli akan masuk selaku penganti pada babak kedua.

Bahagian serangan kemungkinan terus mengandingkan Azamuddin Akil dan Norshahrul Idlan Talaha walaupun dalam dua perlawanan terakhir kelihatan jelas dua pemain ini gagal berinteraksi dengan baik sehingga lansung gagal membolosi gawang pasukan lawan. R. Surendran dikhabarkan sudah pulih dari kecederaan dan mungkin turut tersenarai dalam senarai 18 pemain termasuk Ramzul Zahini Adenan.

Sarawak


Pertemuan ibarat hidup mati buat Sarawak selepas tumpas kesemua perlawanan yang mereka lalui setakat ini. Siapa duga, naib juara Liga Premier langsung gagal memberi saingan yang bermakna terhadap perebutan dua tempat ke suku akhir.Walau dibarisi jurulatih berwibawa selain dihuni beberapa pemain berpengalaman luas, Bujang senang hanya mampu hadir memberikan aksi bertahan dalam tiga perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia. 

Secara kasarnya, peluang pasukan dari Borneo untuk memberi cabaran dalam kumpulan C sudah hampir tertutup tetapi dalam dunia bola sepak, tiada yang mustahil berlaku. Siapa tahu, kesemua tiga pasukan yang sedang berebut setakat ini mengalami keciciran mata manakala mereka pula dapat mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut, mungkin mereka akan menjadi salah satu pasukan dari kumpulan maut mara ke saingan kalah mati.

Berdasarkan laporan melalui tiga perlawanan yang dihadapi, Sarawak dijangka hadir ke Kota Bharu untuk bertahan sehabis daya bagi mengelakkan dari dibolosi banyak gol. Taktikal ini bakal diterapkan setelah taktik sama hampir berjaya mengundang kejutan keatas Johor FC tempoh hari namun gagal ekoran sepakan penalti pada awal separuh masa kedua.

Bagi kesebelasan utama pasukan, perebutan sengit berlaku untuk menjadi pemain pertama pasukan dimana Aidil Mohd yang diberi peluang sebelum ini kelihatan gagal menahan kubu mereka dari dibolosi. Tempat pemain ini sedang diintai Shamsul Fahmi dan perlawanan dengan Kijang bakal menjadi medan kepada Sarawak untuk menurunkan penjaga gol yang dirasakan mampu meminimakan kesilapan dan kegugupan dihadapan puluhan ribu penyokong Kelantan.

Bagi posisi pertahanan, kehadiran Chung Keng Hong tidak banyak membantu kerana beberapa kesilapan yang dilakukan pemain ini memberikan beberapa gol kepada pasukan lawan namun Robert mungkin terus menggunakan khidmat Chung untuk berganding dengan Mohd Hairol Mokhtar selain Mohd Fareez Tokijo dan Mazwandi Zakaria di sebelah kanan dan kiri. 

Jentera tengah kemungkinan diperkuatkan dengan kehadiran lima pemain dimana Mohd Shahrol Saperi mungkin lebih diberi peranan selaku "difensive Midfield" untuk membantu Chung dan Hairol di pertahanan tengah. Selain Shahrol, pemain sayap mungkin digalas oleh Benedict Martin manakala Asri Chu Chu bertindak selaku "flank" Sarawak. Pemain "center" Wong Sai Kong dan V. Jaganathan akan bertindak selaku perencana gerakan dan menjadi "target man" Bujang Senang mengatur serangan kearah kubu pasukan Kelantan. Selain mereka, Sarawak masih memiliki beberapa nama sesuai untu dimasukkan kedalam skuad utama seperti Shahrizan Sahari dan Abang Za'afari.

Dengan memperkukuhkan posisi tengah, Bobby Gonzales selaku pengempur utama akan bertindak keseorangan dibahagian depan pasukan Sarawak. Mungkin pada babak kedua berlaku sedikit pertukaran dimana Zamri Morshidi ataupun Shaiful Sabtu turut dimasukkan bagi merencana lebih banyak serangan selain beri tekanan kepada pertahanan tuan rumah.

Komen RedsfcNews

Satu perlawanan yang penting kepada kedua-dua pasukan dimana Kelantan perlu menang untuk mengesahkan tempat lebih awal ke suku akhir selain elak dari menerima tekanan daripada Johor FC yang sedang menghambat dibawah. Sarawak pula perlu menang kerana sebarang keciciran mata menutup terus ruang kepada mereka bersaing ke peringkat suku akhir.

Mahu tidak mahu, dua pasukan ini perlu lebih terbuka dengan sentiasa bermain secara positif selain beraksi dengan keupayaan sebenar. Tiada istilah lambat panas kerana tiga perlawanan telah dilalui selain sesi latihan berterusan telah dilaksanakan oleh mereka. Alasan keletihan turut tidak terpakai kerana semua pasukan dalam Liga Malaysia bersaing sama seperti dua pasukan ini dan ia tidak patut dijadikan sebab mengapa mereka tidak boleh beraksi dengan baik.

Ayuh kepada penyokong turun beri sokongan kepada pasukan Kelantan di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu. Kepada yang tidak berkesempatan, anda boleh menonton perlawanan secara langsung di saluran Astro Arena. -RedsfcNews-

Gambar:
Dunia Sukan Online

Share on Google Plus

About RedsFC

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 ulasan: