Seperti yang kita ketahui, Kelantan melepasi halangan pertama peringkat kumpulan dalam langkah mereka mempertahankan kejuaran Piala Malaysia buat tahun kedua berturut-turut.
Kejayaan mara ke peringkat seterusnya nyata bukan semudah seperti yang disangka.
Diundi sekumpulan Felda United, Johor FC dan Sarawak, The Red Warriors pada mulanya dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk melepasi saingan.
Entah apa silapnya, Sang Kijang dilihat bergelut dengan prestasi pemain menyebabkan cabaran mereka sedikit sukar pada permulaan. Walau mencatatkan kemenangan, tiga mata yang dipungut tidak lebih kepada menang nasib sahaja memaksa pihak pengurusan memanggil beberapa pemain utama untuk memberi sebab kejatuhan prestasi secara mendadak.
Seusai itu, Kelantan kembali bangkit dari lena untuk mencatatkan kemenangan menyakinkan seterusnya menjuarai kumpulan untuk ke peringkat kalah mati.
Sepanjang enam perlawanan yang dilalui, Kelantan mencatatkan empat kemenangan, sekali seri dan tewas. Mereka menjaringkan 11 gol dan bolos 4 gol.
Enam pemain berbeza melakukan jaringan kepada pasukan Kelantan dengan Norshahrul muncul penjaring terbanyak apabila meledak empat gol.
Badri dan Shakir muncul pembantu jaringan dengan dua "assist" manakala Shahrizan Ismail pula melepaskan 3 gol hasil dari enam perlawanan (satu perlawanan selaku pemain gantian). Satu lagi gol dilepaskan Khairul Fahmi Che Mat.
Peringkat Kumpulan : Pusingan Pertama
Sarawak 0-2 Kelantan
Perlawanan pertama Piala Malaysia dilangsungkan di Stadium Kuching menyaksikan Kelantan bangkit pada babak kedua melakukan dua jaringan. Pada babak pertama, mereka bagaikan mati kutu apabila setiap serangan yang dilancarkan kearah pintu gol Sarawak berjaya diselamatkan penjaga gol dan pemain pertahanan tuan rumah. Selain itu, Sarawak turut melakukan beberapa serangan merbahaya kearah kubu Sang Kijang tetapi ketangkasan Shahrizan Ismail selain kekentalan barisan pertahanan menyelamatkan gawang Kelantan dari dibolosi. Sehinggalah pada pertengahan babak kedua, Norshahrul muncul penjaring pertama dengan ledakan kemas kearah pintu gol Sarawak. Tidak lama kemudian, Norshahrul melakukan hantaran satu dua dengan Chanturu disudahkan dengan sepakan dari jarak dekat dari pemain sayap itu untuk memberikan The Red Warriors kemenangan pertama.
Kelantan 2-1 Johor FC
Beraksi di gelanggang sendiri dalam keadaan padang lembab tidak semudah disangka. Pihak lawan terlebih dahulu mencemaskan penyokong setia dengan jaringan pertama perlawanan. Kelantan tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan selepas sepakan kencang Shakir Shaari dari jarak jauh terkena kaki Hamzani Omar sebelum membias masuk. Selepas jaringan tersebut, pemain Kelantan mengalami kesukaran untuk mendapatkan tambahan jaringan. Beberapa percubaan mereka tidak menepati sasaran selain kegopohan penyerang melakukan tindakan penyudah. Sehinggalah kemasukan Ramzul, Kelantan mendapat sedikit rentak dan bermula dengan hantaran kedalam kotak penalti, "clearance" tidak kemas benteng Johor FC dihukum dengan sepakan mudah Ramzul pada saat akhir untuk memberikan tiga mata penuh kepada Sang Kijang.
Felda United 2-0 Kelantan
Selepas garang memungut enam mata penuh, Kelantan akhirnya ditunjukkan gaya permainan bertahan tetapi pantas melakukan serangan balas dari Felda United. Siapa sangka, dengan deretan percubaan bahaya dilakukan, Felda terlebih dahulu melakukan jaringan Farderin Kadir pada babak pertama. Kelantan cuba bangkit dengan beberapa gerakan kearah kubu Felda tetapi Hamsani Ahmad dengan bergaya menunjukkan aksi menyelamat super. Kealpaan barisan pertahanan serta kekerapan melakukan serangan dihukum sekali lagi oleh tuan rumah dengan jaringan kedua seterusnya memberikan kekalahan pertama Piala Malaysia dan kekalahan pertama kepada Felda United sejak tahun 2007.
Peringkat Kumpulan : Pusingan Kedua
Kelantan 4-0 Sarawak
Dikritik hebat para peminat ekoran kekalahan pertama selain beberapa pemain menunjukkan prestasi dibawah keupayaan sebenar sehinggakan dipanggil pihak KAFA untuk memberi penjelas menyebabkan pemain Sang Kijang bermain lebih baik daripada tiga perlawanan terdahulu. Namun, mereka tetap bermula perlahan apabila gagal melakukan jaringan pada separuh masa pertama dan awal babak kedua. Perubahan taktikal dari Datuk M. Karathu dengan memasukkan Danial membuahkan hasil selepas mereka menjaringkan empat gol dalam masa sepuluh minit. Ketika kebanyakan penyokong sudah berkira-kira meninggalkan kawasan stadium, pesta gol dimulakan dengan jaringan menarik Badri Radzi. Beberapa minit berselang, Norshahrul pula menambah jaringan sebelum Danial muncul dari kawasan tengah melakukan penyudah tepat kedalam jaring. Badri Radzi melengkapkan perlawanan dengan jaringan keempat untuk meletakkan Sang Kijang selangkah ke suku akhir.
Johor FC 1-1 Kelantan
Pihak tuan rumah memerlukan tiga mata untuk menghidupkan sisa-sisa perjuangan mereka dalam Piala Malaysia tetapi hampa apabila jaringan awal yang dilakukan Akmal Mohd Nor dipadam oleh Azamuddin Akil dengan sepakan dari jarak dekat. Perlawanan bertambah rancak apabila Johor FC cuba memberikan beberapa cubaan kearah pintu gol Kelantan namun gagal menembusi gawang kendalian penjaga gol gantian, Shahrizan Ismail. Pertengahan babak kedua, Kelantan bangkit dengan melakukan serangan bertali arus kerah pintu gol Johor FC tetapi Anis Faron pula bertindak cemerlang untuk kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.
Kelantan 2-0 Felda.
Perlawanan yang tidak memberi sebarang erti kepada kedua-dua pasukan kerana masing-masing sudah layak ke suku akhir. Tiga mata yang dipertaruhkan semata-mata merebut status juara kumpulan. Sang Kijang dan Budak Felda turut menggunakan perlawanan untuk mencuba beberapa pemain simpanan kedalam pasukan. Kelantan lebih bernasib baik kerana dapat melakukan dua jaringan pada babak kedua melalui Norshahrul Idlan. Awal separuh masa, kedua-dua pasukan saling mengatur gerakan tetapi gagal melakukan percubaan "on target" menyebabkan kebanyakan bola terbuang begitu sahaja. Selepas bertarung sehingga minit ke-92 (termasuk masa tambahan), perlawanan ditamatkan dengan Kelantan muncul pemenang untuk mengungguli Kumpulan C dengan 13 mata.
By: RedsfcNews
Photo: Shazli Shamsudin dan Wawan Faiz
Video: Sokernet.com
By: RedsfcNews
Photo: Shazli Shamsudin dan Wawan Faiz
Video: Sokernet.com
0 ulasan:
Post a Comment