Prebiu: Penentuan Hidup Mati Saingan Liga Super.


Penulis RedsFC

Penentuan hidup mati Kelantan apabila bertandang ke stadium Sultan Ismail Nasharudin Shah, Kuala Terengganu dalam saingan Liga Super 2011, malam ini.

Berbaki tiga perlawanan, Kelantan memerlukan tiga mata penuh keatas pasukan sejiran untuk menjarakkan kedudukan seterusnya menjulang kejuaraan buat kali pertama.

Sepanjang rekod pertemuan kedua-dua pasukan sejak kempen 2009, pertembungan seimbang dicatatkan kedua-dua pasukan kecuali pada tahun lalu dimana Sang Kijang menang 3-0 keatas Terengganu di Kota Bharu.

Namun, 90 minit yang bakal berlangsung pada malam ini dilihat berbeza kerana selain mempertaruhkan maruah selaku gergasi Pantai Timur, mereka juga berebut satu penghormatan untuk menghuni takhta sehingga hujung musim.

Bagi Kelantan dan Terengganu, mereka berpeluang mencatatkan kejuaraan "doble" buat kali pertama dalam sejarah sepanjang 90 tahun sukan bola sepak di negara kita.

Tugasan Penyu dilihat mudah kerana aksi di gelanggang sendiri jarang mengecewakan terutamanya pada tahun 2011 berbanding Kelantan yang dilihat tidak konsisten apabila hadir ke tempat lawan.

Kita menantikan apa corak taktik dan gaya akan dipertontonkan kedua-dua pasukan dalam pertemuan maha penting menuju kearah kejuaraan saingan Liga.

Corak dan Formasi.

Terengganu bakal turun dengan gaya menyerang kerana tiga mata penuh menjadi idaman kalbu kepada mereka untuk menjulang piala utama buat kali pertama. Irfan Bakti pasti mempunyai ramuan tersendiri untuk mengecewakan negeri kelahirannya dalam perebutan Liga sebelum sekali lagi merencahkan satu catatan manis menewaskan Kijang di Bukit Jalil, 5 hari dari sekarang. Dijangka, taktikal 4-4-2 akan diterapkan namun perubahan di posisi sayap selepas salah seorang tonggak dan penjaring utama mereka digantung satu perlawanan.

Kelantan pula dikatakan bakal turun dengan kesebelasan terbaik pernah dihimpunkan dalam satu pasukan. Andai benar seperti yang dikatakan, mereka dijangka mempamerkan corak permainan menyerang dan bertahan dengan pantas seperti yang ditunjukkan ketika menang keatas Selangor di Shah Alam. Purata taktikal bila mana beraksi di tempat lawan, Karathu lebih cenderung mengekalkan formasi 4-5-1 namun andai mahukan keputusan penuh dicatatkan, kemungkinan taktikal 4-4-2 bakal diterapkan.

Kesebelasan Jangkaan.

Terengganu.

Terengganu turun dengan keazaman tinggi untuk menyekat penguasaan Selangor dan Kelantan sejak 2010. Mereka berkelebihan besar selain mempunyai banyak pilihan pemain terbaik untuk diturunkan dalam kesebelasan utama. Kekalahan kepada Kedah di gelanggang sendiri tempoh hari tentunya tidak mahu diulangi sementelah pula dijangka 20 000 penyokong setia Hitam Putih turun menyaksikan perlawanan. Irfan Bakti sudah tentu tidak mahu moral pemain mereka jatuh lebih awal andai kegagalan mengutip tiga mata penuh pada perlawanan malam ini bakal membawa kepada kekalahan seterusnya di Bukit Jalil nanti. Diibaratkan pertemuan " buku dengan ruas ", Terengganu bakal mempertaruhkan kesebelasan terbaik yang boleh mengejutkan Sang Kijang dengan kelebihan jaringan besar.

Bagi penjaga gawang, Sharbinee Alawee terus dikekalkan selaku penjaga gol utama setelah prestasi konsisten sepanjang liga super nyata membantu Sang penyu memeteh lawan dengan berkesan.

Bahagian pertahanan pula, seperti kebiasaan ketua pasukan, Marzuki Yusoff akan terus membentuk benteng kebal untuk membantu Sharbinee mempertahankan gawang mereka. Marzuki dijangka turun bersama dengan Nik Zul Nawawi dan Hazmizan Kamaroddin namun mereka sedikit tempang selepas seorang lagi pemain "regular", Mohd Helmi Remeli tidak dapat menyarung jersi kesebelasan utama selepas dipanggil menyertai skuad olimpik. Pengantinya kemungkinan dipilih antara Muhaimin Omar, Hassan Bakri ataupun pemain berpengalaman, Ronny Harun.

Jentera tengah tidak terasa ketiadaan Ashaari Shamsudin yang digantung kerana Joseph Kalang dan Ismail Faruqi dan Abdul Manaf Mamat menunjukkan keserasian hebat dan telah membuktikan sentuhan mereka nyata banyak menghasilkan gol buat Peteh. Reshafiq Alwi, pemain yang digosip akan bersama Sang Kijang pada 2011 bakal melengkapkan senarai empat pemain yang akan turun merencana serta menggunakan taktikal acuan Irfan untuk sekurang-kurangnya mencari gol seawal yang mungkin.

Posisi serangan, siapa tidak kenal pemain muda yang sedang meningkat naik, Abdul Hadi Yahya. Dari seorang pemain yang tidak dikenali, Hadi muncul penjaring terbanyak setakat ini dan ketajaman penyudah sudah ditunjukkan dengan satu gol dalam penampilan bersama skuad Malaysia, beberapa hari lalu. Rakan gandingan Hadi dijangka diberikan kepada Wan Alif Jasni kerana ketiadaan Ashaari perlu ditampung Abdul Manaf memaksa Irfan menurunkan penyerang muda ini kedalam skuad utama.

Barisan simpanan Terengganu, beberapa pemain berpengalaman mengisi bangku dengan Ahmad Nordin Alias, Zharif Hasna dan Mohd Fakharurazi Musa dijangka masuk selaku pemain gantian manakala empat tempat lagi bakal menjadi rebutan antara Ailim Fahmi, Mohd Sharmiza Yusof , Mohd Zubir Azmi dan juga Shafuan Adi.

Kelantan.

Kelantan pula turut bakal kehilangan beberapa tonggak penting yang sering mengisi posisi permulaan pasukan. Paling terasa ialah dua pemain pertahanan, S. Subramaniam dan Farisham Ismail yang dilihat tidak sempat pulih dari masalah kecederaan. Zairul Fitree pula menerima pengantungan perlawanan manakala Khairul Fahmi dipanggil menganggotai skuad olimpik yang akan bertolak ke Kemboja.

Ketiadaan Khairul Fahmi membuka peluang kepada Mohd Shahrizan Ismail membuat penampilan pertama dalam "first eleven" saingan liga. Paling menarik, Shahrizan bakal menentang bekas pasukan yang diwakili pada 2007 sebelum kembali menyarung jersi Merah Putih Kelantan. Norhadi Ubaidillah bersiap sedia di bangku simpanan untuk menjadi penganti andai Shahrizan mengalami kecederaan.

Jentera pertahanan pula kita masih mengharapkan dua pemain yang cedera sempat pulih untuk bersama-sama pasukan dalam penentuan kejuaraan Liga. Jika mereka dapat memulihkan kecederaan masing-masing, hanya tempat Zairul Fitree mengalami perubahan dengan kemasukan Aziz Ismail manakala Daudsu turut dijangka kekal selepas kembali dari pengantungan perlawanan sebelum ini.

Bahagian tengah, Badri Radzi diminta terus mempamerkan gerakan dan jaringan gol setaraf dengan gelaran pemain harapan bangsa dan negara. Selaku ketua pasukan. Badri turut perlu menjadi lebih agresif dan mempamerkan persembahan bertenaga. Bergandingan dengan Shakir Shaari dan Nurul Azwan Roya serta Solehin Kanasian, empat pemain ini walau bagaimana bagai tidak boleh mengambil remeh selain perlu melakukan banyak serangan balas untuk memerangkap barisan pertahanan tuan rumah.

Jentera serangan, Norshahrul Idlan mempunyai misi peribadi untuk menjulang kejuaraan selain merampas kembali takhta penjaring terbanyak dari Hadi Yahya. Norshahrul akan bergandingan dengan S. Canturu untuk merobek gawang Terengganu disamping cuba lebih kerap melakukan suntingan dari luar kotak penalti. Nidzad diletakkan di bangku simpanan manakala Ramzul dan Khalid dijangka tidak disenaraikan kerana masalah kecederaan.

Barisan simpanan selain Nidzad dan Mohd Shahrizan, kemungkinan adik beradik Khairan dan juga Danial Fadly, Izuan Salahuddin serta Wan Zaman diletakkan dalam senarai 18 pemain.

Penyokong.

Perlawanan "east Derby" sememangnya akan mengamit ribuan penyokong tuan rumah dan Kelantan ke stadium dalam bandaraya Kuala Terengganu tersebut. Rekod lalu sudah menunjukkan kedua-dua penyokong pasti akan memulakan provokasi sebelum diakhiri dengan pergaduhan. Justeru itu, para penyokong disaran tidak melakukan kekacauan kerana ia akan menganggu konsentrasi para pemain didalam padang.

Datang menonton perlawanan bukan datang bawa hukuman.

Ramalan dan Teka Perlawanan:
Terangganu 1-2 Kelantan
Share on Google Plus

About RedsFC

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

2 ulasan:

Anonymous said...

Terengganu 1-1 Kelantan

Amirul said...

Taktikal Datuk M menjadi. Pemain ganti mat chah, aziz(mat) dan solah beri 100%. Kalu kekal Aziz tepat Ropi guano untuk Final FA.Penyokong pun steady. Napok gaya ultras dan set gendang bergabong bagus. Kekalkan prestasi jauhi rasuah