Mat yo bukti sentuhan masih berbisa dengan dua jaringan cantik.
Penulis: RedsFC
The Red Warriors mengukuhkan cengkaman mereka di tangga teratas Liga Super apabila membelasah Terengganu 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasharudin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.
Berbaki dua perlawanan, Kelantan dilihat berpeluang cerah untuk menamatkan saingan dengan kedudukan juara liga buat kali pertama.
Perlawanan yang berlangsung sebentar tadi menyerlahkan keazaman anak didik Datuk M. Karathu untuk memungut kemenangan keatas pasukan sejiran tersebut.
Bermula dari gerakan S. Chanturu, lintangan rendah Daudsu Jamaludin ke dalam kotak penalti mudah disepak masuk Mohd Izuan Salahudin untuk gol pertama Kelantan pada minit ke-9.
Selepas jaringan tersebut, Terengganu dilihat menguasai perlawanan dengan melakukan tekanan demi tekanan kearah pintu gol pelawat namun Mohd Shahrizan Ismail kebal mengawal pintu gol Kelantan.
Peluang terbaik melalui Abdul Manaf Mamat berjaya disekat Shahrizan manakala dua cubaan Kelantan melalui Mohd Badri Radzi dan Nurul Azwan Roya pada minit ke-36 dan 38 turut gagal menepati sasaran.
Tandukan Norshahrul Idlan pada minit ke-41 hasil sepakan penjuru Mohd Badri Radzi terkena kaki Sharbinee Alawee sebelum tertampan tiang gol menamatkan separuh masa pertama dengan Kelantan mendahului tuan rumah dengan satu jaringan.
Memasuki babak kedua, Sang Kijang diasak hebat pemain Terengganu untuk mencari gol penyamaan.
Peluang Terengganu yang diperoleh Ismail Faruqi hasil hantaran lintang Abdul Hadi Yahya pada awal separuh masa kedua berjaya diselamatkan Mohd Shahrizan diatas garisan gol.
Cubaan Marzuki Yusof melalui tandukan turut tersasar tidak lama kemudian.
Kegagalan Terengganu menjaringkan gol akhirnya menerima padah selepas Norshahrul Idlan Talaha bijak memperdayakan Mohd Sharbinee Alawee dan Mohd Muhaimeen Omar sebelum melepaskan sepakan kearah pintu gol ternganga kosong pada minit ke-73.
Norshahrul Idlan mengesahkan kemenangan Kelantan pada minit kedua masa tambahan selepas hantaran jauh dari Mohd Badri Radzi disempurnakan dengan sepakan kaki kiri mengelirukan Mohd Sharbinee Alawee.
Dengan kemenangan tersebut, Kelantan kekal di tangga teratas Liga Super dengan 50 mata, mendahului Selangor dua mata selepas juara bertahan tersebut garang membelasah Perlis 7-1 di Shah Alam.
Liga Super 2011 - Terengganu lwn Kelantan from evc on Vimeo.
0 ulasan:
Post a Comment