Kelantan.
- Juara Piala Sumbangsih
- Naib Juara Piala FA
- Kejuaraan AFC 2012
- Layak bermain Piala Malaysia
The Red Warriors mengenepikan ramalan awal beberapa pihak bahawa mereka akan menjadi pasukan sederhana ekoran kehilangan beberapa tonggak utama. Tetapi dengan menampilkan persembahan konsisten dalam setiap perlawanan, mereka bangkit untuk mengekalkan tempat selaku pendahulu sehingga saingan tamat. Walaupun berdepan masalah pada pertengahan musim, mereka dapat menghadapi segala musibah seterusnya menjadi pasukan kelima menjulang kejuaraan dalam edisi kelapan Liga Super. Selain itu, Sang Kijang turut merangkul kejuaraan dalam Piala Sumbangsih, memastikan pencabar terdekat, Selangor hampa untuk menjulang piala buat kali ketiga. Kelantan turut mara ke perlawanan akhir Piala FA tetapi melepaskan status pemenang pada masa kecederaan. Dengan kejuaraan yang diraih, Kelantan mendapat tiket automatik ke pentas Asia pada tahun 2012. Secara keseluruhannya, Kelantan merupakan pasukan paling konsisten sepanjang saingan Liga Malaysia 2011 untuk menobatkan mereka pasukan terbaik dalam dua kejohanan yang disertai.
Terengganu
- Juara Piala FA
- Kejuaraan AFC 2012
- Layak bermain Piala Malaysia
Terengganu meneruskan kelangsungan mereka selaku pencabar terdekat Liga Malaysia selama tiga tahun berturut-turut. Bezanya, pada tahun ini mereka dapat menjulang kejuaraan Piala FA selain menamatkan saingan Liga setakuk lebih tinggi dari biasa. Prestasi ala yo-yo yang ditunjukkan pemain Terengganu pada akhir musim menamatkan kedudukan mereka di tempat kedua tetapi bangkit mengejar untuk menang Piala FA bukan satu tindakan yang dapat diduga. Namun, nyata nasib mereka begitu baik untuk terus bersaing dengan Kelantan memburu status Gergasi Pantai Timur. Secara keseluruhannya, Terengganu kekal selaku pasukan pencabar terdekat yang menghapuskan dominasi Selangor untuk berada di kedudukan kedua.
Selangor
- Ketiga Liga Super
- Naib Juara Piala Sumbangsih
- Separuh Akhir Piala FA
- Layak bermain Piala Malaysia
Status gergasi mula luntur setelah mudah dikalahkan pihak lawan dikala memerlukan mata kemenangan. Memulakan saingan kalah 0-2 kepada Kelantan dalam Piala Sumbangsih, mereka sempat bertakhta di singgahsana Liga tetapi mula menunjukkan kemerosotan pada penghujung saingan Liga Super. Menambah kekecewaan, mereka teruk dibelasah Kelantan dalam separuh akhir pertama Piala FA untuk tersingkir dari saingan dengan agregat 6-2. Namun, dengan pencapaian yang diperoleh sepanjang saingan selain dihuni ramai pemain Kebangsaan, Selangor masih lagi kekal antara pasukan yang mampu memberi masalah kepada pasukan lawan. Rekod mereka lebih baik bilamana beraksi di gelanggang lawan berbanding bermain di arena Shah Alam. Rumusan keseluruhan The Red Giants, mereka antara pasukan terhebat Liga Malaysia tetapi kekurangan mental pada saat akhir untuk tersungkur kepada dua pasukan dari Pantai Timur namun status pencabar kekal menjadi milik mereka pada tahun 2011.
Kedah
- Ke-empat Liga Super
- Pusingan Kedua Piala FA
- Layak bermain Piala Malaysia
Kedah menamatkan saingan Liga Super di tempat keempat hasil sikap tidak berputus asa pemain mereka untuk bangkit selepas prestasi tidak menentu pada awal saingan. Mereka terpaksa melakukan perubahan dari pucuk pimpinan dan menukar ketua jurulatih untuk kekal bersaing namun sudah terlewat untuk mengejar tiga pasukan teratas. Selepas berhempas pulas, mereka akhirnya menamatkan saingan di kedudukan "top 5" untuk memberi sedikit kelegaan kepada para penyokong setia. Tetapi cukup kecewa pada saingan Piala FA selepas ditunjukkan jalan keluar oleh Felda United seawal pusingan kedua. Rumusan akhir kepada pasukan Sang Kenari ialah mereka boleh bangkit dengan lebih cemerlang andai dapat menggunakan khidmat kesemua pemain utama tetapi terpaksa akur ekoran kecederaan panjang. Kedudukan keempat boleh dibanggakan ketika mereka hanya mengharapkan pemain muda untuk beraksi dalam keseluruhan musim Liga Malaysia setakat ini.
Harimau Muda
- Kelima Liga Super
- Pusingan Kedua Piala FA
- Layak bermain Piala Malaysia
Skuad bimbingan Ong Kim Swee pada awalnya dilihat bakal menamatkan saingan di tempat ke-enam kebawah namun mereka dapat mencatatkan beberapa kemenangan penting pada saat akhir. Walau menghadapi jadual padat ekoran beraksi dalam kelayakan Olimpik selain beberapa pemain dipanggil sertai skuad Senior Kebangsaan, mereka kekal dengan momentum untuk mencatatkan kedudukan lima terbaik. Mengenepikan Perak setakuk di bawah, Harimau Muda sedikit hampa kerana menjadi pasukan pilihan tersingkir di pusingan kedua Piala FA kepada pasukan premier, Johor. Namun dengan semangat dan komitmen tinggi para pemain yang digabungkan dari seluruh negara, Harimau Muda masih mampu menjadi pencabar kepada pasukan teratas lain walaupun tugasan antarabangsa membataskan prestasi mereka. Secara keseluruhannya, Harimau Muda boleh berbangga kerana dengan pemain yang ada serta kekurangan penyerang dapat diatasi dengan kelebihan pemain yang memiliki skill individu terbaik. Justeru itu, Harimau Muda merupakan delegasi pemain harapan dapat dikeluarkan andai para pemain kekal dengan prestasi mantap sepanjang masa.
p/s: Berikut adalah analisis lima pasukan terbaik Liga Malaysia 2011. Esok kita teruskan dengan Enam pasukan yang mengekalkan tempat di Liga Super serta dua pasukan tersingkir ke Liga Perdana. -RedsfcNews-
0 ulasan:
Post a Comment