Perak
- Liga Super - Keenam
- Suku akhir Piala FA
- Layak bermain Piala Malaysia
Perak memulakan musim baru 2011 dengan azam menjadi calon pencabar kejuaraan Liga. Mereka berjaya melakukan pencapaian terbaik pada awalnya tetapi mula menunjukkan penurunan ketara bermula pertengahan musim. Menyenaraikan ramai tonggak berpengalaman, Perak memberi cabaran sengit untuk mengungguli tangga pertama Liga Super. Entah dimana silapnya, mereka semakin menjatuh setelah mencatatkan beberapa keputusan di luar jangkaan. Arena keramat mereka di Ipoh tidak dapat membantu mencatatkan tiga mata penuh menyebabkan kedudukan mereka di tempat lima terbaik mula terhakis. Cuba bangkit pada perlawanan-perlawanan terakhir namun gagal memintas pasukan Kedah dan Harimau Muda. Begitu juga dalam Piala FA, memulakan cabaran dengan bergaya namun turut gagal mengekalkan momentum sebelum ditunjukkan jalan keluar Terengganu di peringkat suku akhir. Secara keseluruhannya, mereka menunjukkan semangat tinggi untuk menaikkan pasukan negeri dari kesuraman tahun sebelumnya. Membaiki pencapaian musim lalu pada tahun ini sudah cukup baik dari terus meniti laluan berduri kekal di kancah tertinggi.
Johor FC
- Liga Super: Ketujuh
- Pusingan Kedua Piala FA
- Layak bermain Piala Malaysia
Pasukan kelab paling berjaya dalam liga Malaysia tetapi mencatatkan penurunan ketara selepas kehilangan ramai pemain tonggak kepada pasukan lain pada awal musim. Gagal memberi keyakinan kepada para penyokong mereka ekoran prestasi tidak menentu. Dari sebuah kelab yang mampu menamatkan tempat di kedudukan terbaik selama emapt tahun berturut-turut, Johor FC menunjukkan kejatuhan mendadak memaksa mereka berjuang di pertengahan liga. Usaha mereka berbaloi selepas menamatkan di keduduan ketujuh manakala kecundang awal Piala FA sudah diramal lebih awal kerana menentang Sang Kijang yang dilihat lebih baik dari mereka. Rumusan penuh buat kelab dari selatan ini ialah menerima kehadiran beberapa pemain berpengalaman di bahagian pertahanan tidak membawa sebarang erti andai penyerang tidak menjaringkan gol dalam perlawanan penting. Kegagalan menembusi gawang pasukan lawan menyebabkan status kelab terbaik sepanjang zaman Liga Malaysia mula terhakis.
Negeri Sembilan
- Liga Super: Kelapan
- Pusingan Kedua Piala FA
- Layak bermain Piala Malaysia
Musim mengecewakan bagi pasukan "Real Madrid" Malaysia. Bukan sahaja gagal menamatkan musim di kedudukan yang lebih baik malahan tersingkir awal dalam Piala FA walaupun turun dengan status juara bertahan. Mengontrakkan ramai pemain berpengalaman dan antara bintang Liga Malaysia, Negeri Sembilan langsung gagal menunjukkan persaingan sengit kepada pasukan atasan lain. Mereka menjadi pasukan pertama yang dijangka mencabar sengit kejuaraan tetapi turut melakukan penamat pertama dari pasukan lain. Kegagalan besar dipersalahkan kepada ketua jurulatih memaksa pertukaran dilakukan tetapi Negeri Sembilan langsung gagal memberi saingan untuk kekal di kedudukan yang mereka raih sekarang. Secara keseluruhan, Negeri Sembilan nyata bukan tandingan pasukan diatas kerana mereka tidak mampu sama sekali menyertai barisan gergasi merebut takhta dan piala yang dipertandingkan.
T-Team FC
- Liga Super: Ke-sembilan
- Pusingan pertama Piala FA
- Layak bermain Piala Malaysia
Satu lagi pasukan yang bermain di bawah keupayaan walaupun dibarisi nama-nama besar dalam saingan Liga Malaysia. T-Team pada awalnya diramal mampu memecah monopoli pasukan negeri berada di kedudukan pencabar kejuaraan namun kontroversi yang melanda terus membelenggu mereka dari awal musim sehingga tamat. Ternyata kontroversi yang berlaku telah menyebabkan pemain berbisa yang berada di kelab ini tenggelam sama sekali. Ugutan pembubaran pasukan selain potongan gaji dari pihak persatuan turut tidak mampu menaikkkan kembali kelab ini diatas landasan saingan. Kesudahannya, kedudukan di tempat kesembilan sangat sesuai buat pasukan yang tidak mampu menewaskan pasukan kerdil tetapi garang membenam pasukan gergasi.
Sabah
- Liga Super: Ke-Sepuluh
- Pusingan pertama Piala FA
- Layak bermain Piala Malaysia
Dinaikkan pangkat kedalam Liga Super nyata digunakan sebaik mungkin pemain kelas dua Sabah untuk kekal bersaing pada musim hadapan. Mereka berjuang habis-habisan pada akhir musim untuk mengutip sebanyak mungkin mata yang dipertaruhkan. Melakukan pertukaran jurulatih kepada Justin Ganai ternyata membangkitkan kembali semangat juang pasukan Borneo tersebut menjadi antara pasukan yang mengekalkan status di liga utama. Nasib malang mereka pada awal musim bukan sahaja merencatkan perjalanan pasukan keluar dari tempat tercorot malah menyingkirkan dengan tidak rela dari kancah Piala FA seawal pusingan pertama. Mujurlah, kesedaran awal pihak pengurusan berjaya membawa mereka kembali ke landasan kemenangan. Rumusan penuh Sabah dalam dua saingan ini ialah mereka memerlukan penyerang yang kekal konsisten untuk mendapatkan jaringan, tidak terlalu mengharapkan pemain veteran selain sentiasa fokus di penghujung babak perlawanan. Sabah mampu menjadi pasukan terbaik tetapi dengan syarat para pemain yang mewakili mereka harus menunjukkan satu sikap berjuang sehingga ke minit akhir perlawanan.
Felda United
- Liga Super: Kesebelas
- Suku Akhir Piala FA
- Layak bermain Piala Malaysia
Menunjukkan aksi longlai dalam saingan liga tetapi garang menuju ke peringkat suku akhir Piala FA. Felda United kalau dilihat pada senarai pemain langsung tidak dijangkakan akan berada di kedudukan tercorot Liga Super. Mereka mengenepikan status selaku juara Liga Perdana pada awal musim untuk berada di tempat yang tidak sepatutnya bagi pasukan handalan. Rentetan keputusan tidak memihak kepada mereka selain kegagalan beberapa pemain utama muncul dengan permainan terbaik menghancurkan impian besar pengurusan untuk melihat pasukan kesayangan mereka beraksi seperti musim lalu. Secara keseluruhannya, Felda mempunyai satu barisan pemain utama yang sangat merbahaya serta mempunyai satu semangat juang tinggi pada setiap perlawanan. Namun kesilapan mudah yang dilakukan sering mengundang padah menyebabkan mata yang sepatutnya mereka kecapi terlepas sebaik menuju ke akhir saingan.
Kuala Lumpur
- Liga Super: Dua Belas
- Suku Akhir Piala FA
- Layak bermain Piala Malaysia
Barisan kurang pengalaman Kuala Lumpur melakukan kejutan besar mengenepikan Negeri Sembilan dalam saingan Piala FA untuk menuju tempat ke suku akhir. Tetapi terpaksa akur kepada kekuatan Pahang. Menamatkan saingan di tempat kedua belas, Kuala Lumpur dilihat bergelut sehingga ke perlawanan terakhir liga untuk kekal di Liga Super. Walaupun begitu, mereka seharusnya berbangga kerana masih berada dalam kelompok elit kerana walaupun ketiadaan pemain bintang, mereka menunjukkan satu semangat juang tinggi. Mereka bukan senang dikalahkan tetapi kegagalan melakukan jaringan sentiasa menyempitkan ruang mereka untuk terus bersaing. Mereka tidak diberi status pasukan pilihan tetapi mereka kadangkala hadir selaku pasukan perosak kepada gergasi yang mahukan tiga mata. Rumusan pasuan ini, Kuala Lumpur mungkin tidak rela berada di tempat paling bawah tetapi satu pujian kepada barisan kurang pengalaman mereka kerana dapat memberikan sesuatu cabaran buat pasukan yang memandang mudah kekuatan mereka. Kekal di Liga Super bermakna pasukan dari Ibu Kota ini masih mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pasukan lain.
Tersingkir Ke Liga Perdana 2012
Pahang.
- Liga Super - Tiga Belas
- Separuh Akhir Piala FA
- Playoff Piala Malaysia
Diselamatkan dari "relegated" ke Liga Perdana pada awal musim langsung tidak diambil iktibar mantan juara pertama Liga Super. Prestasi ala yo-yo merosakkan perancangan awal pihak pengurusan untuk berada dalam kelompok terbaik pada musim depan. Penyingkiran penuh air mata setelah persembahan dibawah keupayaan sebenar menyebabkan pasukan antara digeruni mula beraksi di pentas kelas dua pada musim hadapan. Mereka perlu menyedarkan diri mengapa terpaksa beraksi di Liga kedua setelah pelaburan merekrut pemain utama pasukan lain lansung tidak membantu Pahang. Walaupun menamatkan saingan Piala FA selaku pasukan empat terbaik, ia tidak cukup untuk membawa mereka keluar dari zon penyingkiran sejak pertengahan musim lagi. Secara keseluruhannya, Pahang harus berusaha lebih keras di liga bahagian dua dan membuktikan bahawa mereka mampu naik kembali dua tahun dari sekarang. Saingan Liga Malaysia 2011 harus dilupakan kerana mereka harus mencari tonik bagaimana untuk keluar dari kepompong yang menyebabkan mereka sukar mencatatkan kemenangan bila mana berada dalam situasi memerlukan pungutan mata.
Perlis
- Liga Super - Tangga terbawah
- Pusingan pertama Piala FA
- Tidak layak bermain Piala Malaysia
Status Singa Utara selaku pasukan berbisa dari Utara tanahair akhirnya lebur selepas pemergian beramai-ramai pemain utama mereka kepada pasukan lain. Ternyata konflik pengurusan yang tidak pernah sudah menyebabkan pasukan yang digeruni lawan mula kepatahan taring. Perlis menamatkan kedudukan di tangga terbawah dengan hanya mencatatkan tidak lebih dari 10 mata. Satu pencapaian buruk dikala beberapa tahun dahulu merupakan pencabar tetap saingan Liga Malaysia. Merekrut pemain dari skuad Piala Presiden selain cuba mendapatkan khidmat pinjaman beberapa pemain berpengalaman turut gagal membantu mereka keluar dari zon penyingkiran. Setelah bertungkus lumus, mereka terus gagal dan menjadi pasukan negeri seterusnya bakal beraksi di liga kedua pada tahun hadapan. Rumusan bagi Perlis, perbezaan kekuatan dengan pasukan lain dilihat ketara dari awal musim sehingga penamatnya namun mereka boleh menjadi pasukan handal jika tenaga muda yang membarisi pasukan ketika ini terus dikekalkan sambil pihak pengurusan cuba mengatasi kemelut dengan menyelesaikan perkara berbangkit
Dinaikkan Ke Liga Super 2012
PKNS FC
- Juara Liga Perdana.
- Layak beraksi di Piala Malaysia
Sarawak
- Naib Juara Liga Perdana
- Layak beraksi di Piala Malaysia
p/s: Berikut adalah analisis ringkas pasukan Liga Super kecuali PKNS dan Sarawak yang dinaikkan ke peringkat utama pada tahun hadapan. -RedsfcNews-
p/s: Berikut adalah analisis ringkas pasukan Liga Super kecuali PKNS dan Sarawak yang dinaikkan ke peringkat utama pada tahun hadapan. -RedsfcNews-
1 ulasan:
Format MSL musim depan kekal ngan 14 pasukan ker?
Post a Comment