Bagaimana Nasib Pemain Tempatan Dengan Kehadiran Awang Import.

Beberapa tahun dahulu, rezeki melimpah ruah buat pemain tempatan setelah pihak FAM melarang sebarang penglibatan pemain import dalam kancah Liga Malaysia.


Timbul pelbagai pandangan pro dan kontra selain perdebatan hangat di kalangan pihak dalam Persatuan itu sendiri akan isu tersebut.

Apa tidaknya, pihak FAM dikatakan mengambil keputusan terburu-buru tanpa mengkaji kesan jangka panjang, FAM tidak profesional seperti liga dunia yang lain malah ada dengan nada sinis mengatakan keputusan tersebut tidak akan berkekalan lama.

Ianya terbukti selepas tiga tahun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kembali membenarkan penggunaan tenaga import dalam saingan Liga Malaysia dengan tujuan menambah mutu dan menarik kembali sokongan penyokong yang suram sejak beberapa musim sebelum ini.

Perkembangan terbaru ini tentunya meresahkan segelintir pasukan yang tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh kerana bukan sahaja perlu mencari pemain import terbaik untuk melawan pasukan yang lebih berkemampuan, malahan perlu pula berusaha keras mengekalkan pemain tempatan yang ada untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan sukan negeri dan kelab.

Disebalik keghairahan mencari pemain luar negara untuk memperkuatkan pasukan masing-masing, timbul pula isu selepas ini mengenai bagaimana dengan nasib pemain tempatan didalam pasukan. Dapatkah mereka diberi layanan kelas A seperti yang mereka terima sebelum keputusan membenarkan kemasukan pemain import kedalam pasukan.

Jika sebelum ini, mereka boleh meletakkan harga yang tinggi untuk menyertai sesebuah pasukan, tetapi dengan kehadiran tenaga import, mahukah pasukan melabur jumlah wang yang sama hanya untuk pemain tempatan.

Biarpun setiap pasukan hanya dibenarkan mengambil dua sahaja pemain luar tetapi ia tetap memberi kesan mendalam kepada pemain kelahiran negara. Sukar buat mereka meletakkan harga munasabah dengan khidmat mereka kerana pihak pengurusan sudah tentu mahu menjimatkan perbelanjaan demi mendapatkan khidmat orang luar yang paling terbaik.

Malah banyak juga kesan buruk bakal mereka terima kerana sejarah sukan bola sepak tempatan tidak pernah surut dengan isu tunggakan gaji jika ada pemain import dibenarkan beraksi dalam kancah liga Malaysia.

Justeru itu, pemain tempatan selepas ini pasti berebut untuk beraksi dengan pasukan yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk mengelakkan berlakunya masalah tunggakan gaji.

Namun pengarang tertarik dengan sikap FAM tidak mewajibkan penggunaan tenaga import kepada setiap pasukan kerana ia sememangnya membebankan pihak Persatuan itu sendiri. Tetapi, mahukah persatuan sukan bola sepak di Malaysia tidak menggunakan tenaga import mewakili pasukan mereka setelah melihat pasukan lain sedang rancak mencari "permata Import" ketika ini.

Walau apa pun, nasib pemain tempatan dilihat bakal terpinggir kerana setiap persatuan sudah pasti tetap dengan pendirian mereka untuk merekrut tenaga luar kedalam pasukan. Oleh itu, pemain perlu bertindak bijak selepas ini dengan mencari pasukan negeri dan kelab mana yang mampu membayar gaji mereka agar tiada lagi kes tunggakan dilaporkan di media tempatan. Ketika itu, tiada gunanya mempunyai gaji yang tinggi andai Persatuan pula gagal membayar kerana mempunyai sumber kewangan kecil.

Pihak persatuan pula dinasihatkan tidak terlalu mengejar penggunaan pemain import kerana mereka harus terlebih dahulu menilai keupayaan kewangan pasukan sebelum mengemukakan niat untuk mendapatkan pemain idaman.

Sekiranya kewangan yang ada dilihat terhad, cari sahaja pemain yang bernilai rendah tapi mempunyai kualiti lebih tinggi dari pemain tempatan. Itu yang sebaik-baiknya dari mencuba menggunakan pemain bernilai tinggi tapi pada akhirnya gagal memberi sebarang impak kepada kekuatan pasukan.

Pemain tempatan tidak merasa terpinggir, pemain import dapat diambil dan yang paling utama, sumber kewangan dapat digunakan dengan baik untuk perjalanan semusim liga. Itu yang kita kehendaki dari terjadinya isu berbangkit pada hujung saingan musim depan. -RedsfcNews-

Share on Google Plus

About RedsFC

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 ulasan: