Prebiu Perlawanan Akhir Piala Presiden 2011: Pasukan Berbeza, Misi Sama.

Misi dua pasukan berbeza merebut penghormatan selaku juara baru edisi ke-26 Piala Presiden 2011 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam esok.


Kelantan selaku wakil tunggal pasukan negeri yang layak ke penentuan final manakala MP Muar FC hadir selaku pasukan bukan pilihan untuk menggondol kejuaraan.

Tekanan terarah kepada President Warriors untuk merangkul kemenangan kerana harapan tinggi disandarkan kepada mereka oleh penyokong setia.

Namun begitu, walaupun MP Muar hadir selaku "underdog", mereka pasti tidak mahu pulang kosong dalam penampilan pertama mereka di pentas akhir.

President Warriors menempah tiket selepas melepasi cabaran hebat wakil Selangor, PKNS Fc di separuh akhir manakala MP Muar pula mengenepikan cabaran juara bertahan, Sekolah Sukan Bukit Jalil dalam satu lagi perlawanan empat terbaik.

Sang Kijang Muda tentu mahu melebarkan rekod selaku juara buat kali keempat selepas kali terakhir mengungguli saingan pada tahun 2005 dan apa yang istimewanya ketika itu, mereka turut menang keatas wakil Johor, Pasir Gudang United.

Selain itu, Kelantan turut berpeluang menyamakan kejuaraan dengan pasukan paling berjaya setakat ini, Selangor yang telah memenangi 4 kali saingan.

MP Muar pula pasti turut teruja mengulangi pencapaian kelab Johor FC pada tahun 2009 dan mencatatkan kejuaraan pertama dalam kancah Piala Presiden.

Untuk rekod perlawanan, kedua-dua pasukan masih belum pernah bertemu dan perlawanan akhir di Kota Bharu malam esok dilihat seimbang dengan kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama rata muncul juara edisi ke-26.

Persiapan Pasukan.

Kelantan FA

Zahasmi selaku ketua jurulatih dilihat mempersiapkan pasukan sebaik mungkin dari segi mental dan fizikal untuk membolehkan anak buahnya turun dengan semangat juang tinggi tanpa perlu takut dengan suasana perlawanan. Bermain selaku tuan rumah perlawanan akhir, Zahasmi sedar para pemain Kelantan bakal menerima tekanan hebat untuk muncul juara. Justeru itu, dia memberi penekanan fokus kepada corak taktikal dan stamina pemain agar tidak mudah mengaku kalah selain sentiasa memanfaatkan peluang terhidang dan mengelakkan melakukan kesilapan mudah.

MP Muar FC

MP Muar Fc dikhabarkan bakal menurunkan kesebelasan terbaik untuk menewaskan Kelantan di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu. Dilatih Rosli Omar, bekas pemain Negeri Sembilan, MP Muar dapat meletakkan pasukan mereka setaraf dengan pasukan negeri lain. Dikhabarkan Muarian sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk bermain di hadapan penyokong Kelantan. Dibarisi pemain berpengalaman luas dalam Liga Presiden dan mempunyai dua atau tiga pemain bermain dengan skuad senior, Rosli Omar tidak pening untuk mencari kesebelasan utama. Penekanan dari aspek stamina dilakukan jurulatih mereka dan dikhabarkan mereka akan bermain pantas untuk memerangkap pemain Sang Kijang.

Kesebelasan Jangkaan.

Kelantan FA


Bagi penjaga gol utama, Mohamad Syazwan terus mengekalkan tempat nombor satu selepas merampas dari tangan Judtanna, dua bulan lepas. Syazwan bertindak cemerlang dalam perlawanan Liga selain membantu Sang Kijang melayakkan diri ke perlawanan akhir. Walaupun melakukan beberapa kesilapan yang hampir mengundang padah, kem Kelantan terus mengharapkan pemain muda ini terus melakukan aksi menyelamat terbaik bagi mengelakkan gawang dibocori pasukan MP Muar.

Barisan pertahanan tidak asing lagi dimana Nik Shahrul Azim terus diberi peranan selaku ketua pasukan yang akan membimbing tiga lagi pemain mengukuhkan kawasan paling bawah. Bakal dibantu Faizol Nazlin Sayuti dan Tuan Mohamad Norhafizie, satu tempat lagi bakal dipenuhi Zamri Ramli yang telah kembali cergas untuk masuk kedalam kesebelasan utama. Zabeel Mohd Nor dan Syafiq Haikal dijangka terus memanaskan bangku simpanan manakala pemain yang baru didaftarkan, Azmi Hamzah turut berkemungkinana mengisi senarai 18 pemain.

Jentera tengah President Warriors pula diketuai penjaring terbanyak Kelantan setakat ini, Mohd Khairul Izuan Rosli. Selaku pemain berpengalaman luas dan pernah mewakil pasukan negara, Izuan Rosli perlu memanfaatkan perlawanan akhir untuk menaikkan kembali namanya yang kian suram. Bersama Izuan di bahagian tengah, Nick Chan atau Mohd Syawalrudin. Nick Chan belum dipastikan bebas dari kecederaan tetapi andai dapat diturunkan, dia pasti menjadi pilihan pertama Zahasmi Ismail. Norsyahrul Hawari mungkin terus bermain di posisi sayap kanan manakala Norhamizi Haron melengkapkan barisan tengah dengan sayap kiri.

Barisan serangan Kelantan pula mempertaruhkan Aris Zaidi yang kembali kedalam pasukan selepas menjalani pengantungan perlawanan sebelum ini. Penyerang ini sudah merekodkan 9 gol kepada pasukan Kelantan dan sudah tentu perlawanan akhir mahu dijadikan penamat gemilang kepadanya selaku penyerang muda paling berbisa di Negeri Cik Siti Wan Kembang. Rakan gandingan pemain ini masih belum dipastikan siapa tetapi beberapa nama boleh dimasukkan selaku penyerang kedua. Farhan Yaacob lebih selesa digunakan selaku pemain sayap, Akid Ramli masih gagal menemui sentuhan penyudah, Shahiran Mohd Zain dan Manaf Mansor tentu mahu merebut tempat selaku penyerang. Azyu Ikmal turut berkemampuan bermain di posisi pertama tetapi bisa pemain ini  seringkal ditagih selaku super sub dan dia kemungkinan terus digunakan selaku pemain simpanan esok.

MP Muar Fc


MP Muar FC dijangka menurunkan Mohd Khairul Izzuwan Saari selaku penjaga gol utama selepas pemain ini tampil cemerlang membantu kelab dari Muar itu layak ke final. Rakan penjaga gol, Mohd Jailani terus diberi peranan kedua dibelakang Khairul Izzuwan.

Barisan pertahanan MP Muar bakal diketuai pemain yang telah dinaikkan pangkat ke pangkuan skuad Premier, S. Harivarman. Selain itu, mereka turut mempunyai khidmat pemain seperti Nadzmeer Hisham, Sadesh Kumar, Azwan Mat Ali dan Tamilselvam. Kesemua pemain ini berpotensi untuk dimasukkan kerana mereka merupakan tonggak yang membantu kelab dari Johor tersebut mencatatkan kejayaan paling bermakna.

Jentera tengah pula, Rosli Omar dijangka mengekalkan barisan sama ketika mencatatkan kemenangan penting keatas SSBJ, tempoh hari. Beberapa pemain dari posisi ini pernah diserapkan dalam sesi latihan skuad senior. Dijangka Muhd Afiq Akhmal akan mengetuai barisan tengah bersama dengan Nasrullah Hanif, Ahmad Hisyamudin serta Zailan Mohamad. Mereka turut memiliki pemain seperti Mohd Norhakim dan Mohd Shahrul Nizam. Satu keistimewaan, pemain tengah mereka berkemampuan membantu penyerang menjaringkan gol selain mempunyai kemahiran individu tinggi. Mereka mungkin mengharapkan pemain tengah mereka untuk mencari jaringan dan melakukan serangan pantas kearah kubu Kijang.

Penyerang pula tiada banyak maklumat yang diperoleh dari kem Mp Muar. DIjangka Mohd Fauzi Abdul Kadar akan mengetuai barisan serangan mereka.

Penyokong

Kelantan FA

Dijangkakan President Warriors bakal menerima sokongan padu dari penyokong Kelantan. Ribuan penyokong tuan rumah dijangka membanjiri Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, esok untuk melihat pemain muda masa depan The Red Warriors menjulang kejuaran yang akan melengkapkan tahun kegemilangan bola sepak Kelantan. Selain itu, dikhabarkan tiket perlawanan telah diagihkan kepada sekolah sekolah terpilih di sekitar Kota Bharu untuk hadir beri sokongan kepada pemain President Warriors.

MP Muar FC

Pihak pengurusan MP Muar nyata teruja dengan kejayaan pasukan muda mereka layak ke peringkat final menyebabkan mereka mengeluarkan sedikit peruntukan untuk para penyokong dari Johor hadir ke Kota Bharu. Dikhabarkan dua buah bas pihak MP Muar yang membawa penyokong mereka akan bertandang ke Kota Bharu untuk memberi sokongan moral kepada pemain mereka. -RedsfcNews-

Share on Google Plus

About RedsFC

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

2 ulasan:

Anonymous said...

Gud Luck President Warrios.

Anonymous said...

selamat berjaya..jangan lupo semaye ggorib dulu...