Prebiu Perlawanan: Felda, Kelantan Buru Kedudukan Pertama.


Cemerlang dua perlawanan awal, Felda United menanti Kelantan dalam aksi terakhir pusingan pertama Piala Malaysia 2011 untuk merebut pendahuluan takhta Kumpulan C di Stadium Selayang, malam esok.


Penyingkiran pusingan pertama pada musim lepas menjadi pengajaran berguna kepada Felda betapa aksi peringkat kumpulan tahun ini perlu dihadapi dengan laluan berliku tetapi siapa sangka, kelab yang berpangkalan di Lembah Klang mengenepikan seketika ramalan awal ramai pihak dengan beraksi cemerlang seterusnya memungut enam mata penuh.

Tidak bagi kem Kijang, enam mata yang dipungut mendapat kritikan ramai pihak kerana kemenangan yang dicatatkan adalah berdasarkan nasib baik semata-mata. Kegagalan beraksi baik seperti mana ditunjukkan dalam perlawanan pra musim ternyata mengundang rasa jelik sesetengah pihak.

Namun tidak gusar juga bagi pengendali, Datuk M. Karathu kerana barisan anak didiknya dikhabarkan masih mabuk "raya" menyebabkan gagal beraksi cemerlang seperti yang diharapkan oleh sesetengah pihak.

Berlainan dari situasi Felda United, E. Eleverasan nyata terkejut dengan persembahan pemain yang dimilikinya selepas tampil gagah dalam dua perlawanan awal menyebabkan tugasan yang perlu dilakukan jurulatih berasal dari Selangor menjadi semakin mudah.


Berdasarkan rekod pertemuan semasa Liga Super, Kelantan mencatatkan kemenangan menyeluruh keatas "Budak Felda" sama ada di arena sendiri ataupun di gelangggang lawan. Begitu juga dalam saingan Piala FA, The Red Warriors turut menunjukkan jalan keluar kepada Felda seawal suku akhir.

Untuk perlawanan ini, jangkaan pertemuan seimbang bakal ditunjukkan kedua-dua pasukan dengan masing-masing berkeupayaan mencatatkan kemenangan andai bermain lebih baik dari pasukan lawan.

Formasi Felda.

Felda mencipta kejutan pertama ketika menundukkan Johor FC pada perlawanan pertama dimana formasi 4-4-2 yang digunakan E. Eleverasan ternyata menambah sengat bahagian tengah dan depan. Corak sama dikekalkan membolehkan mereka bangkit untuk menewaskan Sarawak dalam pertembungan kedua. DIjangka, jurulatih Felda akan terus mengekalkan corak taktikal sama selain mengharapkan pemain mereka dapat mencari gol awal untuk mempertahankan keputusan sehingga masa tamat.

Formasi Kelantan

Dua perlawanan yang dilalui setakat ini menunjukkan taktikal tidak menjadi dari M. Karathu menyebabkan pasukan dilanda kesukaran untuk mendapatkan jaringan. Formasi 4-4-2 yang digunakan gagal membolehkan pemain Kelantan menguasai ruang secara menyeluruh andai pasukan lawan turut bermain dengan corak sama. Pemain tengah turut tenggelam memaksa penyerang turun kebawah mencari bola. Namun, empat perlawanan yang telah dilansungkan dengan Felda sudah pasti memudahkan kerja Karathu untuk mencari kelemahan pasukan tersebut seterusnya melebarkan rentak kemenangan seperti saingan Liga dan Piala FA.

Barisan Kesebelasan Jangkaan

Felda Utd.


Bagi penjaga gol, Hamsani Ahmad dijangka terus mengekalkan posisi tersebut. Pengalaman Hamsani ditagih Felda untuk menghalang pemain Kelantan membolosi gawang mereka.

Jentera pertahanan, seperti biasa benteng utama digalas Khaironisam Sahabuddin selaku jeneral terakhir. Khaironisam menampilkan aksi kemas dalam dua perlawanan sebelum ini. Dia dijangka terus digandingkan dengan Hazmarul Fadzir dan Mohd Nidzam Jamil selain kehadiran pemain serba boleh, Liew Kit Kong.

Bagi barisan tengah, kehadiran dua pemain pinjaman dari Harimau Muda melengkapkan kawasan yang dilihat tempang ekorang terlalu bergantung harap akan pemain senior. D. Ravindran dan S. Sivanesan dijangka akan dimasukkan kedalam kesebelasan utama bergandingan dengan dua lagi pemain senior yang akan dipilih dari kalangan pemain seperti Azi Shahril, Azrul Ahmad, K. Rajan dan Syazwan Zainon.

Posisi serangan, Ferderin Kadir yang sudah menjaringkan dua gol setakat ini mungkin akan menggalas tugas utama merobek kubu The Red Warriors. Disampingnya kemungkinan tonggak senior, Nizarudin Yusuf ataupun penyerang berasal dari Kedah, Zamri Chin. Mereka turut mendapat khidmat seorang penyerang Harimau Muda sebagai pinjaman dan mungkin pemain ini akan dimasukkan selaku penyerang gantian.

Kelantan


Kubu Kelantan kawalan Shahrizan Ismail bolos satu gol ketika menang 2-1 keatas Johor FC. Tetapi ia tidak merungsingkan kerana Shahrizan tetap kental mempertahankan pintu gol. Pemain ini masih bijak mengawal benteng terakhir walaupun diasak keras pasukan lawan. Dia terus diberikan tugasan terakhir dalam pertemuan dengan Felda United, malam esok.

Barisan pertahanan Kelantan seperti biasa menjadi nadi utama kepada kekuatan keseluruhan pasukan Sang Kijang. DIperkuatkan oleh S. Subramaniam, Farisham Ismail, Daudsu Jamaludin dan Aziz Ismail, benteng Kelantan tetap utuh andai pemain simpanan seperti Khairan Ezuan, Wan Rohaimi dan Rizal Fahmi Rosid disenaraikan didalam kesebelasan utama. Paling membimbangkan hanyalah tahap mental pemain Kelantan yang sedikit menurun pada babak-babak akhir perlawanan.

Posisi tengah dilihat "hancur" pada dua pertemuan awal. Gagal melakukan hantaran tepat, kesilapan mudah selain bermain sambil lewa hampir menghukum pasukan sepenuhnya. Mujurlah barisan serangan dan pertahanan berjaya mengatasi kelemahan jentera tengah dengan beberapa aksi cemerlang. Justeru itu, pertemuan dengan Felda diharap pemain seperti Badri Radzi dan Shakir dapat melakukan sesuatu di kawasan "center" manakala Chanturu dan Azwan Roya mampu mencipta ruang dan jaringan gol melalui sebelah sayap. Jika masih gagal menunjukkan persembahan menyakinkan, Khairul Izuan Rosli dan Danial Fadzly masih ada untuk masuk selaku pemain gantian.

Tugasan jaringan gol tidak asing lagi diberi kepada Norshahrul Idlan Talaha dan Azamuddin Akil. Dua pemain ini senantiasa memberi masalah kepada pemain pertahanan lawan namun gagal menjaringkan gol kerana tiada hantaran berkualiti dari kawasan tengah. Malahan, mereka kadangkala dilihat terpaksa turun kebawah mencari bola menyebabkan terus sukar menggugat barisan pertahanan lawan. Selain mereka, Kelantan turut memiliki penyerang simpanan seperti Ramzul Zahini Adenan dan R. Surendran.

Komen RedsfcNews

Pengendali Felda harus menegaskan kepada semua pemain mereka bahawa momen indah dua kemenangan perlu diteruskan dengan menewaskan Kelantan. Kelebihan beraksi digelanggang sendiri disamping kualiti yang ada pada pasukan mereka cukup untuk menjinakkan Sang Kijang. Jika pemain bermain lancar dan mengikut segala arahan taktikal yang diberi, sekaligus ia menjadi kunci kepada Felda untuk mengecewakan Kelantan buat kali pertama dalam saingan kompetetif. Para pemain Felda harus melupakan kekalahan lampau dan cuba menyerap tekanan penonton pasukan pelawat yang bertandang selain cuba mencari kelebihan gol awal untuk  memungkinkan mereka mencatat pungutan mata penuh.

Bagi kem Kelantan, prestasi tidak menentu beberapa pemain perlu diambil perhatian serius. Berikan suntikan semangat kepada mereka agar turun berjuang sedaya upaya. Kita tidak mahu lihat ada pemain merasakan mereka kebal dari disimpan menyebabkan mereka tampil sambil lewa. Karathu perlu tegas kepada pemain supaya mereka turun dengan komitmen 100%. Tidak lagi bersandarkan kepada jawatan ketua ataupun status pemain utama sehingga memaksa penonton melontar kata tidak enak sepanjang masa perlawanan. -RedsfcNews- 

Share on Google Plus

About RedsFC

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 ulasan: