Harimau Kena Ayam, King K Harus Bertanggungjawab.

Ketua jurulatih Malaysia diharap segera melepaskan jawatan secara terhormat selepas melihat sendiri anak didiknya di"ayam"kan Kanggaru di Canberra, Australia, petang semalam.


 Ini kerana, beliau memang tidak serik dengan tindakan "bodoh" menurunkan pemain yang tidak lagi relevan dalam skuad negara sewaktu ini.

Bukan sekali tetapi sudah berkali-kali namun ia tetap menjadi pilihan utama K. Rajagobal menyebabkan skuad Malaysia sekali lagi malu besar diinjak-injak Australia dengan lima jaringan tanpa balas.


Para penyokong langsung tidak meratapi kekalahan kerana mereka sedar taraf pasukan lawan dengan Malaysia tetapi sekurang-kurangnya, mereka mahukan sedikit perjuangan diatas padang oleh semua pemain yang diturunkan.

Ini tidak, belum apa-apa sudah terkena dengan jaringan lawan. Kalau kerana serangan dari pihak lawan boleh dimaafkan tetapi apa yang berlaku dan disaksikan jutaan penyokong, kebanyakan gol adalah kesilapan mudah dari pemain yang diberi tanggungjawab bermain.

Diakui lawan Harimau kali ini merupakan gergasi di Asia selain dipenuhi barisan bintang yang bermain di serata dunia. Sangat besar jurang pemain kebangsaan dengan Socceroos namun sebenarnya kesilapan paling utama ialah pilihan pemain yang dibawa "King K" ke sana.


Apa istimewanya beberapa "anak ikan" yang diletakkan dalam kesebelasan utama pemain. Mohon beliau dapat menjelaskan dengan sejelas-jelasnya kepada semua penyokong Malaysia.

Banyak sudah alasan yang dilontarkan sama ada timba pengalaman, kenal pemain sendiri, saya tahu siapa pemain yang saya mahu. Semua ini sudah tidak relevan. 

Dari tahun ke tahun, semuanya sama. Berapa banyak peluang yang dimahukan. Sudahlah kejohanan Piala Dunia dilepaskan semata-mata untuk beraksi di Piala Asia 2015, kini harapan yang disandarkan penyokong terus digunakan untuk membuat ujikaji.

Tidak sedarkah perlawanan yang dilalui semuanya penting dan menjadi maruah kesemua anak Malaysia sama ada mereka minat atau tidak minat dengan sukan bola sepak.

Jika sudah tidak mampu menggalas tugas, lepaskan sahaja jawatan dan berikan kepada jurulatih lain. Cukuplah menjadi juruLETIH pada setiap aksi Harimau Malaya selepas ini.

Rata-rata penyokong sudah tidak berminat nak ambil tahu alasan yang dikeluarkan. Mereka ada mata untuk melihat aksi semua pemain negara yang diturunkan. Mereka juga bukan tidak cerdik untuk menilai dengan apa yang berlaku. Para penyokong juga tidak hipokrit. Mereka akan memuji jika corak permainan teratur dapat ditunjukkan, biarpun tewas perlawanan. 

King K, lepaskan, lepaskanlah jawatan yang disandang. Berikan jawatan anda kepada yang lebih layak. Bertanggungjawablah dengan kekalahan besar yang dialami. Tunjukkan sikap berani seperti anda yang dahulu. Bukan seperti ketika ini selepas menerima pangkat DATUK. -RedsfcNews-

Photo: bolagoalnet
Video: Sokernet.com

Share on Google Plus

About RedsFC

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 ulasan: