Piala FA 2011: KELANTAN Road To Final.

Penulis: RedsFC


Pusingan Pertama:
T-Team 1-1 Kelantan
[Kelantan menang Penalti 6-5]


Isu panas melibatkan pengurusan Kelantan dan tiga pemain yang menyertai T-Team tidak menggugat The Red Warriors untuk melepasi peringkat pertama saingan Piala FA. Gol jaringan awal dari Rizal Fahmi Rosid mudah dipadamkan Indra Putra Mahayudin. Namun Kelantan mendapat peluang keemasan untuk menamatkan perlawanan lebih awal tetapi sepakan penalti Norshahrul Idlan Talaha pada minit akhir gagal menepati sasaran. Tambahan masa yang diberikan turut gagal disudahkan dengan nota kemenangan. Dalam penentuan penalti, kesemua pemain Kelantan menyempurnakan sepakan manakala sepakan terakhir dari Norfazly Alias jauh tersasar untuk memberikan kemenangan pertama kepada Datuk M. Karathu dalam Piala FA.

Pusingan Kedua
Johor FC 0-1 Kelantan


Corak hambar dan gaya permainan tidak menarik disajikan kedua-dua pasukan mengundang cemuhan para penyokong yang bertandang memberi sokongan. Tiada yang menarik untuk diperkatakan terhadap perlawanan ini kecuali gol jaringan menerusi tandukan dari jarak dekat Mohd Badri Radzi pada minit ke-45 memisahkan kedua-dua pasukan dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA.

Suku Akhir Pertama.
Kelantan 2-2 Felda


Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri ternyata tidak memberi tuah buat Kelantan selepas terikat 2-2 dengan kelab Felda United. Gol penalti kontroversi hadiah Khairul Fahmi Che Mat kepada kelab berpengkalan di Kuala Lumpur pada minit akhir perlawanan tersebut mengundang kemarahan para penyokong kepada pengadil perlawanan. Jaringan awal Mohd Badrol Azam mudah disamakan kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi. Sang Kijang merekodkan pendahuluan pada babak kedua selepas Norshahrul Idlan Talaha menyempurnakan peluang terhidang hasil keadaan kelam kabut didepan pintu gol Felda namun kekasaran "Apek" keatas Ramesh Lai Ban Huat pada minit akhir memberi gol penyamaan kepada pelawat hasil sepakan penalti Liew Kit Kong.

Suku Akhir Kedua
Felda United 0-3 Kelantan


Keadaan padang sendiri tidak menepati spesifikasi yang telah ditetapkan FAM menyebabkan pihak pengurusan Felda United terpaksa memilih untuk bermain suku akhir kedua di padang Sang Kijang. Kelebihan tersebut digunakan sebaik mungkin anak didik M. Karathu dengan menewaskan lawan dengan tiga jaringan. Bermula jaringan S. Chanturu pada pertengahan babak pertama, Nurul Azwan Roya mengandakan kedudukan pada babak kedua sebelum Nidzad Ayub tampil selaku "super sub" dengan jaringan ketiga pada minit akhir perlawanan untuk kemenangan besar keatas Felda United. Kemenangan tersebut membuka laluan kepada Kelantan layak ke separuh akhir menempah pertemuan dengan Selangor.

Separuh Akhir Pertama
Selangor 1-5 Kelantan


Kelantan turun dengan status underdog bagaimanapun mencatatkan kemenangan bergaya selepas menewaskan Gergasi Merah Kuning 5-1 dihadapan penyokong setia mereka, Berbekalkan sorakan hampir 20 000 penyokong sendiri, Kelantan tampil garang seawal babak pertama dengan dua jaringan jarak dekat Ramzul Zahini Adenan. Bersambung babak kedua, Kelantan terus mendominasi perlawanan dengan menambah tiga lagi jaringan melalui Nurul Azwan Roya, Mohd Badri Radzi dan Norshahrul Idlan Talaha. Cubaan demi cubaan "Red Giants" akhirnya membuahkan hasil untuk gol saguhati pada minit pertama masa tambahan.

Separuh Akhir Kedua
Kelantan 1-1 Selangor


Kemenangan besar keatas Selangor pada saingan separuh akhir pertama menggamit kehadiran puluhan ribu penyokong setia The Red Warriors ke gelanggang keramat mereka, Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu. Gol sepakan menarik Shakir Shaari pada awal babak pertama menambah keghairahan para penyokong untuk terus berpesta sepanjang perlawanan. Namun, gol penyamaan dari Rudie Ramli mengsunyikan seketika mulut penyokong Kelantan. Wisel panjang pengadil pada akhir perlawanan menggamatkan kembali sorakan Gomo Kelate Gomo, meraikan kejayaan sulung 2011, Kelantan ke pentas Final FA buat kali kedua sepanjang sejarah penganjuran bermula dari tahun 1990 lagi.

Perlawanan Akhir
Terengganu [ ? - ? ] Kelantan

Pertemuan seimbang dijangkakan bakal dipersembah kedua-dua pasukan dimana Terengganu dan Kelantan mempunyai peluang sama rata untuk muncul pemenang. Khabar angin tersebar deras mengatakan The Red Warriors menjual perlawanan demi memberi kemenangan kepada pasukan lawan pantas dinafikan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dalam sidang media. Komen ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu yang ditemui sumber RedsFC-News mengatakan bahawa mereka dan Terengganu mempunyai kelebihan masing-masing dalam perlawanan 11 Jun nanti. Kita harapkan kedua-dua pasukan yang bertanding dapat memberikan aksi luar biasa dan menepati status selaku pertembungan terhangat merebut nama Gergasi Pantai Timur.
Share on Google Plus

About RedsFC

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

2 ulasan:

Amirul said...

Kalu klate nok jual siapo nok beli

Mohd Lokmal said...

maen molek sek kitow...arap tuhhh....