Rasuah Terus Berleluasa.
Reds Deliey
Redsfcnews@gmail.com
Laporan demi laporan melibatkan gejala menjual perlawanan telah dibuat terhadap sukan bola sepak Malaysia. Terbaru, skuad Kebangsaan dan Olimpik negara turut disabitkan dengan gejala tidak bermoral tersebut.
Tidak dinafikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa sebenarnya skuad Kebangsaan kini dilanda satu gejala yang pada suatu ketika dahulu pernah menjatuhkan sukan nombor satu rakyat ke tahap paling rendah.
Pengarang tidak berminat untuk mengulas panjang berkaitan rasuah kerana memberi ruang pihak SPRM dan Polis membuat siasatan menyeluruh keatas dalang dan pemain yang menerima suapan.
Kita tidak mahu pemain dan pihak pengurusan terlepas dari bentuk hukuman yang akan dikenakan keatas mereka kerana telah merosakkan imej pasukan bola sepak negara di mata dunia.
Bagi pengarang, sungguh memalukan ketika bola sepak Kebangsaan semakin meningkat dari segi tahap permainan dan sokongan peminat, para pemain serta pihak pengurusan mengkhianati sokongan tersebut.
Apa lagi yang tidak cukup dengan "duit halal" mereka perolehi semasa berkhidmat dalam pasukan untuk satu-satu perlawanan.
Adakah gaji bulanan dan bonus yang diperoleh tidak lumayan sehingga menyebabkan segelintir pemain dan pihak pengurusan terpaksa mengatur perlawanan dengan orang tengah.
Atau mereka tidak yakin dengan kemampuan pasukan sehingga sanggup membuat satu perkara yang terang-terangan salah disisi Islam dan undang-undang negara.
Persoalan kini, bagaimana FAM selaku badan induk untuk mengatasi gejala yang telah mengejutkan ramai pihak penyokong di luar sana.
Biarpun proses untuk mencari bukti akan mengambil masa lama pihak persatuan harus segera bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memerangi sehabis mungkin gejala rasuah.
Mereka perlu menyakinkan peminat bahawa kebangkitan yang dipamerkan selama ini berdasarkan kemampuan sebenar pasukan negara bukan dengan sumber kewangan untuk mengubah suatu keputusan.
0 ulasan:
Post a Comment