Preview Pasukan Piala Malaysia 2011.


Kumpulan A.

Kedah


Mereka menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat memberikan mereka sedikit tekanan kerana Sang Kenari turun selaku pasukan pilihan dalam kumpulan A untuk melayakkan diri ke saingan kalah mati. Skuad bimbingan Wan Jamak Hassan bagaimanapun memerlukan keajaiban untuk layak kerana diletakkan dalam kumpulan maut bersama tiga lagi pasukan negeri. Persiapan mereka berada di kemuncak dengan kehadiran dua pemain pinjaman Harimau Muda dan Perlis selain beberapa pemain yang lama tersisih ekoran kecederaan mula kembali menyertai sesi latihan. Pencapaian musim lalu perlu diperbaiki termasuklah cuba melakukan kejutan mara ke peringkat perlawanan akhir. Dikhabarkan melakukan beberapa perlawanan persahabatan untuk memantapkan lagi tahap persediaan jaguh Utara tersebut.

Perak


Perak turut diletakkan selaku pasukan pilihan untuk mara jika dilihat kepada prestasi pasukan kendalian Norizan Bakar. Namun mereka perlu mencari beberapa pemain penganti sesuai untuk mengantikan lima pemain utama yang digantung perlawanan oleh FAM jika masih berimpian mara sehingga ke saingan suku akhir. Turut mengambil tiga pemain pinjaman untuk memperkuatkan pasukan, Perak mungkin mampu layak andai dapat mencari pungutan mata penuh dalam tiga perlawanan awal. Segalanya mungkin akan berpihak kepada mereka andai pemain sedia ada menggunakan segala kepakaran yang dicurahkan Norizan untuk diterapkan dalam corak permainan.

Sabah


Sabah pada awal saingan Liga Super menunjukkan taraf permainan bercelaru menyebabkan mereka tersungkur ke dasar Liga. Tetapi tindakan pantas pihak pengurusan meletakkan Justin Ganai di posisi ketua jurulatih menaikkan kembali mereka ke tempat 10 terbaik untuk kekal di saingan Liga selain layak automatik ke Piala Malaysia. Mereka bagaimanapun tidak meminjam pemain untuk saingan kali ini dan kelayakan pertama ke perlawanan pertama selepas dua tahun tersisih pasti mahu digunakan sepenuhnya oleh mereka. Sedikit kesukaran bagi Sabah untuk bertemu Perak dan Kedah tetapi dijangka tidak mempunyai masalah melawan Johor. Perlawanan pertama melawan Perak di tempat keramat harus dibawa pulang keputusan positif. Diletakkan selaku pasukan underdog mengurangkan tekanan kepada pemain Sabah untuk berusaha lebih gigih untuk ke peringkat suku akhir.

Johor


Menamatkan Liga Perdana di tempat keempat memberikan mereka peluang bersaing dalam Piala Malaysia. Namun undian kumpulan A tidak memihak kepada mereka kerana diletakkan dalam satu kumpulan dengan tiga lagi pasukan negeri dari Liga Super. Tetapi, saingan masih belum dimulakan dan Johor tetap mempunyai peluang untuk mara andai dapat mencatatkan keputusan positif dalam setiap perlawanan. Target awal pihak pengurusan untuk berada di kedudukan lapan terbaik menyebabkan mereka turut berada dalam pasaran perpindahan untuk pinjaman pemain dan rekrut tiga pemain dilihat berbaloi jika saingan peringkat kumpulan dapat diharungi tanpa sebarang masalah. Perlawanan pertama menentang Kedah di gelanggang lsendiri menjadi cabaran besar kepada skuad Jengking menentukan halatuju mereka dalam Piala Malaysia 2011.

Kumpulan B

Terengganu.


Status juara Piala FA dan kedudukan kedua Liga Super sudah menunjukkan petanda awal gergasi dari Pantai Timur ini mudah untuk diserapkan selaku pasukan yang turut mara ke suku akhir. Dibarisi enam pemain skuad Kebangsaan termasuk memiliki penjaring terbanyak Liga Super, Peteh masih tidak puas untuk mendapatkan seorang pemain Harimau Muda A untuk mengukuhkan lagi corak permainan mereka. Salah sebuah pasukan pilihan ramai untuk berada di "Final", Terengganu bertandang perlawanan awal ke Sime Darby untuk mencari tiga mata pertama. Perlawanan selebihnya, Sang Penyu perlu lebih konsisten untuk mengelakkan menangis awal.

Negeri Sembilan.


Gelaran "Real Madrid" Malaysia gagal meletakkkan mereka antara pencabar utama kedudukan Liga Super. Tetapi catatan perjalanan mereka dilihat cemerlang bila beraksi pada kancah Piala menyebabkan Skuad Jang perlu diberi perhatian lebih oleh setiap pasukan dalam kumpulan B. Muncul naib johan pada 2010 meletakkan mereka selaku pilihan kedua dibelakang Terangganu untuk mara ke peringkat kalah mati. Perlawanan kali ini memerlukan anak didik Azrai Khor memantapkan posisi serangan andai mahu menggegar. Kembalinya beberapa tonggak harapan utama selain seorang pemain pinjaman dari Pahang dan kehandalan formasi terapan bekas jurulatih pasukan Olimpik negara bakal membantu Jang untuk terus berada dalam kelas tersendiri bila beraksi dalam edisi kali ini.

PKNS Selangor.


Juara Liga Perdana 2010, PKNS bukan calang-calang pasukan untuk ditewaskan. Jika dipandang mudah, pasukan pilihan bakal tersungkur jatuh kepada pasukan yang berpengkalan di Lembah Klang. PKNS pasti tidak mahu nasib seperti Felda musim terdahulu menimpa mereka kerana kejuaraan yang diraih bukan modal besar kepada pemain kelab untuk bersenang lenang. Status bukan pilihan tidak memberi tekanan kepada mereka untuk sekurang-kurangnya mencabar Terengganu dan Negeri Sembilan merebut salah satu slot ke perlawanan suku akhir.

Sime Darby FC.


Pasukan terakhir yang melayakkan diri ke Piala Malaysia selepas mencipta sejarah pertama menundukkan Pahang dalam penentuan playoff. Siapa sangka, kelab yang menduduki kedudukan kelima Liga Pedana berjaya mara dengan agregat besar keatas pasukan Diraja. Sime Darby dilihat bakal menjadi mangsa didalam kumpulan B tetapi mereka memiliki senjata ampuh untuk melayakkan diri iaitu semangat berpasukan dan kelebihan selaku pasukan bukan pilihan. Tiada maklumat lengkap diperolehi untuk kelab Sime Darby tetapi dikhabarkan turut berada dalam beberapa perlawanan persiapan untuk menyiapkan skuad terbaik bersaing kejohanan paling berprestij.

Kumpulan C

Kelantan.


Penyandang juara, Kelantan berimpian besar untuk mempertahankan kemenangan mereka dalam Piala Malaysia. Demi sebuah impian untuk dinyatakan, pihak pengurusan berbelanja dengan rekrut dua pemain pinjaman dari Pahang untuk memperkuatkan jentera serangan. Kelibat penyerang sedia ada tidak diberi jaminan untuk terus mempamerkan corak yang diharap seperti Liga Super. Kemantapan posisi tengah dan pertahanan turut ditagih kali ini kerana ketiadaan penjaga gol utama ekoran aksi dengan skuad Malaysia memerlukan pemain lebih bersiap siaga untuk mengelakkan penyandang pertama tersungkur di peringkat kumpulan. Melakukan sehingga lima perlawanan persahabatan, The Red Warriors memulakan tirai dengan bertandang ke Borneo melawan Sarawak untuk mencari tiga mata pertama.

Johor FC.


Label kelab paling berjaya selama empat musim selain muncul selaku pasukan empat terbaik Piala Malaysia 2010, Johor FC diletakkan salah satu pasukan pilihan berada di suku akhir nanti. Mereka sedikit hampa setelah harapan untuk meminjam penjaring terbanyak dari MP Muar tidak kesampaian. Namun begitu, persiapan awal yang dilakukan Azuan pada edisi Piala Malaysia kali ini dilihat lebih serius kerana mereka sudah tentu mahu mencapai matlamat seperti dilakukan musim lepas. Jadual pertama menentang Felda United,  skuad bergelar Lebah mahu pantas mengutip mata penuh untuk meringankan beban tekanan untuk layak.

Felda United.


Kelab bimbingan Eleverasan pada mulanya dilihat menjadi pasukan pengacau kepada pasukan gergasi tetapi mula menunjukkan kemerosotan mendadak pada akhir musim liga menyebabkan mereka terpaksa berpuas hati di tempat ke-11. Justeru itu, untuk menambahkan lebih sengat, "The Felda Boys" mengambil tiga anak muda dari "Young Tigers" untuk memantapkan pemain sedia ada. Sasaran ke suku akhir sedikit sukar tetapi tiada siapa tahu nasib pasukan yang bertanding. Yang paling utama, pemain berpengalaman perlu membimbing bintang muda mereka untuk bersaing lebih hebat dari biasa.

Sarawak.


Kelayakan selepas dua tahun terpelosok ke divisen bawahan, Sarawak bangkit untuk melayakkan diri selepas menamatkan tempat di Liga Perdana dengan kedudukan kedua. Siapa sangka pasukan yang dulunya terpaksa mengadakan perlawanan amal untuk membayar hutang dapat kembali ke peringkat tertinggi hanya dalam masa singkat. Bergelar Bujang Senang, tidak senang sebenarnya kepada mereka kerana diletakkan sekumpulan dengan tiga pasukan dari Liga Super namun setiap cabaran perlu ditempuh dengan semangat "agi idup agi ngelaban". Sejarah selaku bekas naib johan pada awal 2000 perlu diterap oleh semua pemain bimbingan Robert Alberts jika mahu mencelah diantara barisan pasukan lain ke suku akhir nanti.

Kumpulan D.

Selangor.


Tekanan besar kepada pihak kejurulatihan dan pemain Selangor kerana amaran keras pihak pengurusan mahukan satu kejayaan mampu mereka raih pada saingan kali ini. Kekalahan di Piala Sumbangsih dan kegagalan mempertahankan Liga Super menyebabkan kedudukan K. Devan dan beberapa pemain terancam. Demi sebuah harapan besar, sepuluh perlawanan persahabatan telah diatur dengan tiga pemain pinjaman dari USM FC dan Harimau Muda terpaksa diambil. Terkandas kepada Kelantan pada edisi lalu mahu ditebus sehingga ke final terbaru dan Selangor tetap menjadi pilihan utama untuk mara berbanding tiga lagi pasukan di kumpulan ini.

T-Team.


Sebuah lagi pasukan impian yang gagal menunaikan impian setelah mencatatkan beberapa keputusan buruk sewaktu beraksi di dua saingan tertinggi di Malaysia. Pada saingan kali ini, pihak pengurusan sudah mengsasarkan kejuaraan sulung dan mahu tidak mahu, sesuatu perlu mereka lakukan dalam kumpulan D sebagai permulaan. Turut berada dalam musim perpindahan dengan mengambil dua pemain pinjaman tetapi gagal merekrut penyerang Perlis. Yunus Alif telah menyatakan keyakinan tinggi kepada T-Team untuk menjadi kelab kedua di Malaysia muncul juara kejohanan tertua di Asia Tenggara.

Kuala Lumpur.


Laba besar mereka perolehi setelah pemain muda yang dicipta selama tiga tahun berjaya mengekalkan kedudukan mereka di Liga Super seterusnya mara ke Piala Malaysia dengan bangga. Kuala Lumpur bagaimanapun perlu menunjukkan satu susunan kemas dalam corak permainan jika mahu merampas satu tempat ke suku akhir. Memori sedih ditewaskan semua perlawanan pada kejohanan musim lalu perlu diperbaiki. Razip Ismail mengadakan sehingga empat perlawanan persahabatan dengan harapan pemain muda yang diasuh dapat memberikan saingan bermakna di peringkat kumpulan.

PDRM.


Dari sebuah pasukan yang mahu menarik diri dari saingan Liga Malaysia, PDRM muncul kembali dengan menambah baik sedikit pasukan mereka untuk saingan Liga Perdana. Usaha tidak jemu akhirnya membuahkan hasil selepas menduduki tangga ketiga Liga seterusnya mengekori PKNS dan Sarawak ke Piala Malaysia secara automatik. PDRM kali ini memerlukan sedikit keajaiban untuk mara setelah undian nyata sukar kepada mereka untuk berada di kelompok dua pasukan terbaik. Siapa tahu nasib mereka jika para pemain PDRM menggunakan semangat dan jati diri unggul untuk mengenepikan pasukan pilihan diatas. -RedsfcNews-

Share on Google Plus

About RedsFC

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 ulasan: